Isnin, 7 Mei 2012

Nisrena - Matlamat kehidupan lebih jelas


Mengapa Saya Pilih Islam?

KEPUTUSAN bertukar agama ada ketikanya meletakkan seseorang itu di dalam situasi diluah mati emak, ditelan mati bapa. Apatah lagi keputusan muktamad yang dibuat pastinya mengundang kemarahan dan tentangan hebat terutamanya kepada kedua-dua ibu bapa yang telah membesarkan kita bagai menatang minyak yang penuh.

Waima, bagaimana hebat sekalipun dugaan yang bakal diterima Nisrena Abdullah, 32, tetap tidak akan berganjak daripada keputusan yang telah dibuat, meskipun nyawanya jadi taruhan.

``Alhamdulillah, pada 12 Jun 1999, akhirnya saya mengucap dua kalimah syahadah selepas lebih lapan tahun mengenali Islam secara dekat.

``Tiada kata yang mampu meluahkan perasaan tenang dan gembiranya hati saya pada waktu itu. Ditemani keluarga bakal suami terutamanya ibu bapanya, rasa bagai bayi yang baru mengenali erti kehidupan di dunia ini. Bukan itu sahaja, keazaman dan semangat baru turut lahir di saat penuh bersejarah itu.

``Perasaan takut yang menyelubungi diri sebelum ini, lenyap begitu sahaja. Islam telah menukar diri saya daripada seorang yang terlalu bimbangkan reaksi orang ramai kepada lebih berfikiran positif dan berkeyakinan dalam menempuh hari depan,'' cerita Nisrena mengimbau kisah enam tahun lalu.

Menurut usahawan pau ini lagi, dua bulan selepas bergelar Muslim, beliau diijabkabulkan dengan jejaka pilihan hati, Kamaruddin Mohd. Hanafiah, 45, yang berasal dari Sungai Siput, Perak.

Hasil perkahwinan atas dasar suka sama suka itu, mereka kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Anna Noreliana, 1 tahun tiga bulan.

Tambah ibu muda kelahiran Selayang Baru, Selangor ini, meskipun pergaulan dengan pelajar Melayu beragama Islam sepanjang persekolahan peringkat menengah menjadi antara faktor penyumbang kepada minatnya terhadap Islam.

Namun perkenalan Nisrena dengan Kamaruddin yang dahulunya merupakan salah seorang guru di sekolah tempat beliau menuntut merupakan insan yang memainkan peranan penting dalam mengubah perspektif negatif berkaitan agama Islam dan umatnya yang diketahui melalui pemerhatian terhadap masyarakat Islam di sekelilingnya masa itu.

Akui Nisrena lagi, sehingga ke hari ini suaminya sentiasa menjadi tempat untuk beliau merujuk apabila timbul kemusykilan selain bertanyakan kepada ahli keluarga mentua.

``Saya berterima kasih kepada suami kerana sabar menunjuk ajar saya selama ini. Hakikatnya, dia tidak memaksa malah lebih melihat kepada kemampuan dan memberi penjelasan agar saya faham terlebih dahulu.

``Awal-awal dahulu mengerjakan solat lima waktu boleh disifatkan begitu mencabar bagi orang seperti saya yang tidak ada berpegang atau percaya pada mana-mana agama dahulunya.

``Syukur minat saya kepada dunia pembacaan secara tidak langsung membantu saya memahami lebih cepat hikmah atau kelebihan di sebalik ibadah yang ditekankan kepada setiap penganut beragama Islam, sekali gus memantapkan akidah dan kepercayaan saya,'' kata Nisrena yang ditemui di rumahnya yang terletak di Dengkil, Sepang, Selangor, baru-baru ini.

Sehingga kini, selain tertarik dengan konsep ketuhanan di dalam agama Islam, Nisrena turut terpaut kepada konsep persaudaraan sesama Muslim yang diterapkan oleh Islam.

Akui Nisrena, ia terbukti semasa beliau mula-mula mengusahakan perniagaan penyediaan makanan iaitu pada tahun 2001.

Katanya lagi, gerai makanan yang beroperasi di Medan Selera Dengkil pastinya memerlukan modal, kalaupun tidak banyak sekurang-kurangnya boleh dijadikan modal pusingan.

Di tambah pula, bergelar seorang saudara baru, sokongan daripada keluarga kandung tentu sekali tidak ada inikan pula, hendak mengharapkan bantuan kewangan.

``Alhamdulillah, dengan adanya institusi seperti Pusat Zakat Selangor (PZS), saya telah menerima bantuan modal sebanyak RM 8,000.

``Perniagaan waktu itu begitu memberangsangkan. Sayangnya ia cuma bertahan selama dua tahun sahaja apabila projek Putrajaya siap sepenuhnya.

``Pelanggan saya majoritinya terdiri daripada para pekerja projek tersebut. Jadi apabila tamat projek di situ, kehadiran mereka pun semakin berkurangan dan akhirnya lengang,'' kata Nisrena yang menyimpan cita-cita bergelar usahawan terbilang suatu hari kelak.

Melihat senario sedemikian, kata Nisrena, dia tidak nampak masa depan perniagaannya di situ. Lantas pada sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang lalu, kedai makan Nisrena ditamatkan operasinya, meskipun sudah memiliki beberapa orang pekerja.

Bagi wanita berhati waja ini, berundur tidak bererti mengalah, Nisrena membuka pula perniagaan membuat dan mengedarkan pau resipi sendiri sama ada secara terus ataupun yang dingin beku.

Menceritakan pemilihan kepada perniagaan pau, jelas Nisrena memandangkan kemahiran memasak beliau yang disifatkan sebagai kepandaian semula jadi dan mendapati pau cina begitu digemari masyarakat Melayu telah menguatkan lagi semangatnya, perniagaan baru ini mampu ke hadapan.

Kini, Pau Nisrena dipasarkan di Selayang, Cheras, petaling Jaya, Putrajaya, Shah Alam dan Sungai Buloh. Kata Nisrena lagi, memandangkan perniagaan ini diusahakan di rumah, dia mampu menghasilkan sebanyak 1,000 ketul pau sehari.

``Biarpun telah lima bulan beroperasi, ia telah berjaya edarkan di beberapa buah pusat perubatan kerajaan, kantin sekolah dan tempat-tempat tumpuan orang ramai. Malah bagi mereka yang berminat menjadi ejen Pau Nisrena bolehlah menghubungi saya di talian 012-2228650.

``Hati saya kuat mengatakan bahawa perniagaan yang diusahakan kali ini mampu ke depan. Tambahan pula mendapat sokongan sepenuhnya daripada suami.

``Sekali lagi saya berterima kasih dengan PZS kerana sedang dalam usaha mencarikan tempat yang dijangka di Klang dengan menyediakan sekali kos untuk pengubahsuaian dan mesin membuat pau di kilang tersebut.

``PZS bukan sahaja membantu dari segi kewangan malah yang paling berharga ialah memberi kursus keusahawanan dari semasa ke semasa.

``Kesungguhan PZS menjadikan saya di antara yang ramai sebagai perintis, benar-benar menjadi pemangkin semangat untuk membuktikan usaha ini berjaya,'' kata Nisrena yang sentiasa mengingatkan dirinya agar tidak terlalu mengejar kejayaan sehingga melupakan tanggungjawab seorang Muslim yang sebenar di muka bumi ini.

Harapan beliau melalui perniagaan ini cita-citanya untuk membantu ibu tunggal dengan menyediakan pekerjaan dan tempat tinggal tercapai. Selain itu, pendapatan hasil daripada perniagaan Pau Nisrena juga, menukar statusnya sebagai penerima bantuan pusat zakat kepada pembayar zakat.

UM 3/9/04

Tiada ulasan:

Catat Ulasan