Isnin, 7 Mei 2012

Kisah Perjalanan Haji

 (Semasa Haji)

18 November 2009, saya dan isteri meninggalkan tanah air serta sanak keluarga. Sambil menarik beg dan melangkah masuk ke dewan berlepas di Kelana Jaya, kami melihat wajah anak-anak kami yang masih kecil yang bakal berpisah dengan ayah dan umi buat pertama kali dalam hidup mereka. Adibah (8 tahun) dan Danish (4 tahun) terpinga-pinga seolah-olah tidak percaya yang ayah dan umi sanggup meninggalkan mereka. Alhamdulillah mereka langsung tidak menangis. Mungkin mereka juga tahu bahawa ayah dan umi ingin benar pergi ke rumah Allah. Mereka redha. MasyaAllah, tingginya pengorbanan anak-anak kecil ini.
19 November 2009. Pertama kali saya dan isteri melihat kaabah (syukur…hati kami memang berasa lega kerana takut juga tak nampak kaabah seperti yang telah ditakut-takutkan orang). Isteri saya bercucuran air mata apabila melihat kaabah. Saya juga amat sayu, namun air mata tidak mahu keluar walaupun dipaksa. Bukannya saya control macho dan hati saya memanglah sebak. Cuma air mata begitu sombong dan enggan membasahi bumi Mekah.
Wukuf di Arafah. Hujan turun lebat sehingga bumi Arafah banjir. Perkara ini memang ganjil sekali. Bayangkanlah, padang pasir boleh banjir. Habis khemah dan tikar kami basah kuyup. Namun semua jemaah di keliling saya redha dengan ujian Allah dan tidak ada yang tergamak untuk merungut. Alhamdulillah, ibadah wukuf berlalu tanpa sebarang dugaan yang memeritkan. Hanya diabadikan kenangan manis berkumpul dan berdoa bersama-sama Malaikat-Malaikat Allah. Kamilah hamba-hamba Allah yang datang dalam keadaan berdebu sepertimana yang Allah telah bangga-banggakan kepada para MalaikatNya di Arasy suatu ketika dahulu. Ya Allah…kami datang Ya Allah... Di khemah di Mina pula, seorang pakcik tua jatuh sakit bersebelahan ruang tempat tidur saya yang bersaiz mungkin 2 kaki x 5 kaki. Saya melihat pakcik itu tidak mampu bangun, makan mahupun bersolat. Asyik tidur sehingga melangkau waktu solat. Mulanya saya biarkan saja sebab tidak mahu mengganggu tidur pakcik itu. Akhirnya saya merasa bahawa tentu pakcik itu tidak mahu ketinggalan peluang beribadah di bumi Mina. Saya juga sedar bahawa Allah telah memberi saya ilmu di dalam bidang rawatan Islam. Mulanya saya segan-segan untuk merawat pakcik itu sebab takut dilihat jemaah lain dan khuatir menjadi riak. Akhirnya saya bertekad bahawa ini adalah satu ujian Allah ke atas saya berkenaan ilmu rawatan yang Allah telah berikan. “Bagaimanakah kamu menggunakan ilmu yang telah diberi kepada kamu?” adalah persoalan yang terngiang-ngiang di telinga saya. Lantas saya pun secara sembunyi-sembunyi meletakkan tangan saya di ubun-ubun kepala pakcik itu sambil membaca beberapa ayat penawar daripada Al-Quran. Dengan izin dan kehendak Allah, pakcik itu pun bangun tidak lama selepas dirawat. Saya mengambil kesempatan itu untuk menyuap nasi padanya. Dalam hati saya ketika itu, saya sentiasa teringat kepada abah saya yang berada di Malaysia. Rindunya kepada abah. Pakcik itu la menjadi pengubat rindu, lalu saya terus menyuap dia sehingga kenyang. Esoknya selesai melontar jamrah, kami pun berangkat pulang ke Mekah. Saya melakukan nafar awal kerana masalah kesihatan, iaitu masalah tulang belakang saya. Saya baru beberapa bulan selesai menjalani pembedahan untuk memasukkan tulang palsu. Di dalam bas, saya mendapat tempat duduk bersebelahan dengan isteri saya. Walaupun sempit bas itu, saya tetap lega mendapat kerusi kerana tahu perjalanan mungkin mengambil masa 2 jam untuk ke Mekah, biarpun jarak perjalanan hanya lebih kurang 7km. Belum sempat saya memanaskan kerusi, seorang makcik tua berdiri di sebelah saya kerana tidak mendapat kerusi. Lantas saya bangun memberikan kerusi saya kepadanya. Saya pun berdiri. Rupa-rupanya perjalanan itu mengambil masa lebih 4 jam kerana masalah kesesakan trafik yang dasyat. Sampai di Mekah badan saya sudah lemah kerana disc palsu di tulang belakang saya tidak dapat bertahan seperti barangan original ciptaan Allah. Keadaan berdiri selama 4 jam dalam bas yang sempit telah amat menyakitkan saraf-saraf badan saya, terutamanya saraf-saraf di kaki yang bersambung ke tulang belakang saya. Sampai di Mekah, saya dan isteri dinasihatkan untuk terus membuat tawaf dan saie haji kerana masjidil haram semakin sesak dengan jemaah. Jika ditunggu keadaan akan semakin teruk. Selepas solat zohor kami pun terus membuat tawaf haji walaupun saya sudah berasa lemah. Empat pusingan yang pertama dapat saya lalui dengan penuh kepayahan, dan saya sudah menjadi amat lemah. Kaki tak mampu lagi diangkat untuk melangkah. Jemaah-jemaah yang berasal dari Asia Selatan dan Timur Tengah begitu rakus menolak jemaah-jemaah lain. Bahu saya sentiasa ditarik oleh mereka dari belakang, bagi membolehkan mereka memotong. Apabila diasak dari belakang, saya terpaksa mengelak untuk memberi peluang jemaah-jemaah ini memotong. Kalau mereka berada di belakang saya, jawabnya makin sakitlah belakang saya dirempuh mereka. Saya merasakan sakit yang tak tertahan lagi. Belakang saya terlalu perit diasak-asak. Kaki-kaki saya semakin longlai untuk melangkah. Jemaah semakin ramai, kerana semakin banyak bas sudah tiba dari Mina. Saya sudah begitu layu dan sedar bahawa tidak mungkin saya dapat menghabiskan tawaf ini. Hanya doa yang mampu saya panjatkan kepada Allah yang Maha Mendengar rintihan hambaNya. Ya Allah. Aku sudah tidak mampu lagi untuk menghabiskan tawaf haji ku ini Ya Allah. Bantulah aku untuk melakukan 3 pusingan lagi Ya Allah. Ini adalah tawaf haji Ya Allah, aku perlu melakukannya. Tidak lama selepas berdoa, saya merasakan ada seorang lagi jemaah berada rapat di belakang saya. Seperti sebelum itu, saya mengelak supaya dia dapat memotong saya agar tidak menyakitkan belakang saya. Tetapi jemaah ini tidak mahu memotong. Dia tetap rapat di belakang saya. Begitu rapat sehingga menyentuh keseluruhan belakang saya. Apabila saya berkali-kali mengelak, jemaah itu meletakkan tangannya di atas bahu kanan saya supaya saya tidak dapat mengelak lagi. Tubuh jemaah itu makin rapat kepada belakang saya. Tiba-tiba saya merasakan seperti belakang saya dialaskan dengan tilam yang begitu lembut, lantas meredakan sakitnya. Kaki saya tidak sesakit dan selemah sebelumnya. Saya tidak diasak dan ditolak lagi. Saya dapat meneruskan perjalanan tawaf haji saya tanpa masalah. Pada ketika ini, saya baru tersedar bahawa sebenarnya saya sedang diiring oleh seseorang untuk melakukan tawaf tersebut. Saya tidak menoleh ke belakang kerana ingin mempastikan bahu kiri saya sentiasa menghadap ke arah kaabah. Air mata yang selama ini begitu sombong dan tidak mahu menitis, dengan tidak semena-mena mencurah-mencurah tanpa henti. Masakan tidak…hamba yang sebegini hina tiba-tiba mendapat bukti yang amat nyata dari Penciptanya. Allah telah memberi bukti betapa kasihnya Dia kepada hambaNya. Apa lagi yang harus saya cari? Ini bukti kekuasaan Allah. Air mata kesyukuran dan keinsafan membasahi pipi. Isteri yang sentiasa berada di sisi kanan dan berpaut pada lengan saya kehairanan melihat tangisan lelaki ini yang tidak ubah seperti kanak-kanak kecil yang kehilangan permainan, walhal usianya sudah menjangkau 37 tahun. Ramai lagi jemaah lain yang kehairanan melihat saya menangis teresak-esak. Saya terus dipimpin dan diiring sehingga hampir selesai tawaf. Lalu tangannya dilepaskan daripada bahu kanan saya dan saya pun menyempurnakan tawaf haji saya. Dengan kuasa dan semangat yang baru, saya terus menyelesaikan ibadah saie haji. Ketika bersaie saya masih tidak dapat menahan sebak serta tumpahan air mata kerana masih terkenangkan peristiwa indah semasa bertawaf. Maka selepas asar 29 November 2010, lengkaplah perjalanan haji bagi saya dan isteri.
Malam itu, saya bertanya kepada isteri samada dia tahu kenapa saya menangis sedemikian rupa. Abang sayu ye? jawapan manja daripada isteri. Saya bertanya lagi Nampak tak siapa yang mengiringi belakang abang? Isteri saya yang sentiasa berada hampir sebaris dengan belakang saya sepanjang masa kami bertawaf dengan yakin menjawab Takde sapa. Siapakah hamba Allah itu? Subhanallah.. Saya dan isteri memang berhasrat untuk mencium Hajarul Aswad, namun memandangkan kemampuan fizikal saya yang ibarat bendera separuh tiang, kami batalkan sahaja hasrat itu. Perkara itu sunat sahaja, dan kami tak sanggup menempah mudharat setelah melihat pertempuran-pertempuran sengit para jemaah yang berlaku di hadapan Hajarul Aswad. Lalu kami mensasarkan untuk melakukan solat sunat di Hijr Ismail. Bersolat di Hijr Ismail seolah-olah bersolat di dalam kaabah kerana ianya adalah sebahagian daripada kaabah. Pada suatu hari selepas membuat tawaf sunat, kami terus ke sisi Hijr Ismail. Jemaah tetap ramai seperti musim haji. Dengan niat untuk bersolat sunat di dalamnya, kami perlahan-lahan memboloskan diri kami. Apabila berjaya memasuki Hijr Ismail, saya terlihat seorang jemaah lelaki sedang bersolat sementara jemaah lain sedang berasak-asak di sekelilingnya. Lalu saya membuat kawalan atau kepungan agar jemaah lain tidak merempuh lelaki ini. Selesai dia bersolat, saya menyuruh isteri saya pula bersolat di tempat yang sama dan saya terus berkawal. Selesai isteri saya bersolat sunat dua rakaat, datang pula jemaah wanita yang lain dari Afrika hendak bersolat. Saya terus berkawal. Selesai wanita itu, datang pula wanita lain. Saya terus berkawal lalu menukar niat di dalam hati.Kalau aku tak dapat bersolat di Hijr Ismail pun takpe, aku dapat tolong orang lain solat di sini pun jadilah.” Sambil saya berkawal, seorang lelaki tua berjanggut putih asyik tersenyum memerhatikan saya. Saya kurang pasti bangsa lelaki tua berjangut putih ini. Kemudian dia mencapai janggut sejemput saya dan mengusap-mengusapnya sambil berkata-kata dalam bahasa yang tidak saya fahami. Saya membalas senyumannya, sambil terus berkawal bagi jemaah yang lain pula. Selepas itu saya ditarik oleh lelaki tua tadi dan beliau membuat kepungan dengan isteri saya supaya saya pula dapat bersolat. Selepas bersolat dua rakaat, lelaki tua itu dan saya terus berpelukan lantas saya menangis lagi. Lelaki tua itu memeluk erat tubuh saya seolah-olah ingin memujuk saya sambil menepuk-nepuk belakang saya. Jemaah lain kehairanan melihat drama tangis-menangis di Hijr Ismail di antara dua lelaki yang jelas berlainan bangsa ini. Isteri saya juga turut menangis. Kemudian lelaki itu melepaskan saya lantas menghadap pancur emas di kaabah lalu mendoakan saya. Selepas itu dia memberi isyarat menyuruh saya dan isteri untuk terus berdoa. Lalu lelaki tua itu melangkah pergi. Saya dan isteri kehairanan kerana begitu pantas lelaki tua itu menyelinap di celah-celah jemaah yang sedang berasak lalu hilang daripada pandangan kami. Siapakah hamba Allah yang sudi mendoakan untuk kami itu? Wallahualaam…
31 Disember 2009. Kami pulang ke tanahair ke pangkuan keluarga tercinta. Adibah menitiskan air mata gembira. Danish termenung seolah-olah tidak percaya bahawa ayah dan umi sudah berada di hadapan matanya.
Terima kasih Allah kerana sudi menjemput dan menerima kami menjadi tetamuMu…InsyaAllah kami akan perjuangkan agamaMu dan menyambung perjuangan RasulMu, Nabi Muhammad saw. Rindu kami kepadaMu dan RasulMu makin mendalam…

Tips ke Tanah Suci Serta Pengajaran Kisah
  1. Lakukan solat taubat dengan penuh keikhlasan dan pengharapan sebelum berangkat
  2. Buang segala sifat mazmumah yang ada pada diri sebelum berangkat kerana jika tidak dibuang, takut-takut segala sifat ini akan menonjol di sana kelak.
  3. Jaga tutur kata samada di mulut mahupun di hati. Zikirullah mengelakkan hati dan mulut daripada berkata-kata.
  4. Carilah peluang untuk melakukan kebaikan secara ikhlas di Tanah Suci
  5. Saya telah dipesan oleh Guru saya, Ustaz Suhaimi Rozali, untuk mengamalkan Surah Al-An’am Ayat 61 sebanyak 10,000 kali di Tanah Suci. Sebahagian daripada ayat itu bermaksud “Dan Dialah penguasa mutlak ke atas semua hambaNya. Dan diutusNya kepadamu malaikat-malaikat penjaga.”. Niatkan untuk memohon agar Allah menghantar malaikat penjaga kepada diri kita.
  6. Tidak lekang juga di hati saya surah Al-Baqarah Ayat 286 yang sebahagian daripada ayatnya bermaksud “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang tidak sanggup kami memikulnya.”
  7. Jangan gusar tentang ujian Allah yang bakal menunggu kita di Tanah Suci, fokus dan fikirkan tentang zat dan kasih Ar-Rahim, Tuhan Yang Maha Penyayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan