Jumaat, 15 Julai 2011

Radang tekak akibat bakteria perlu perhatian

SAKIT tekak, jangkitan yang sangat biasa berlaku pada kanak-kanak berusia lebih tiga tahun. Ia selalunya bermula dengan demam dan tekak membengkak.

Kebanyakan orang merujuk keadaan itu sebagai sakit tekak tetapi ada juga menyebut ia sebagai tonsillitis (bengkak pada anak tekak). Sebenarnya ada perbezaan antara dua keadaan itu.

Sakit tekak sangat biasa pada semua orang termasuk kanak-kanak. Kedudukan anak tekak itu sendiri menyebabkan ia mudah menerima kuman yang masuk ke tubuh kanak-kanak menerusi hidung dan tekak.

Anak tekak mengandungi sel menentang jangkitan dan antibodi yang menghentikan penyebaran kuman ke dalam tubuh.

Bagaimanapun, apabila anak tekak menjadi merah, sakit dan bengkak, masalah itu disebut tonsillitis. Ia bukan perkataan yang spesifik kerana banyak penyebab berlakunya radang pada anak tekak.

Di kalangan bayi dan kanak-kanak, bengkak pada anak tekak selalunya disebabkan jangkitan virus. Tiada antibiotik yang diperlukan kecuali jika ia turut dijangkiti bakteria. Masalah ini akan terjadi dalam empat hingga enam hari. Dalam tempoh itu, kanak-kanak dirawat dengan banyak minum air, rehat dan bertenang. Ubat-ubatan yang diberi doktor biasanya bertindak mengurangkan kesakitan atau demam.

Sakit tekak yang disebabkan bakteria pula lebih memerlukan perhatian. Selalunya ia disebabkan bakteria streptococcus atau strep yang memerlukan rawatan antibiotik. Ada ibu bapa gusar memberi antibiotik kepada anak kerana bimbang ia bertindak merendahkan sistem keimunan tubuh. Yang sebenarnya itu tidak benar.

> SIMPTOM

Selalunya simptom bergantung kepada usia anak. Bayi selalunya mengalami masalah cecair yang keluar daripada hidung (sama ada kuning atau hijau), demam yang tidak terlalu panas, merengek, gelisah dan tidak berselera makan.

Kanak-kanak yang berusia antara setahun hingga tiga tahun pula akan mengadu sakit tekak, sukar menelan, kurang selera makan dan kelenjar limfa membengkak.

Kanak-kanak yang lebih tua akan diserang demam (dengan suhu yang tinggi) selain mengalami masalah sukar menelan. Aduan yang dibuat kanak-kanak patut diambil kira bagi membezakan punca jangkitan dan menentukan rawatan.

FAKTA:

Bila ibu bapa perlu bimbang?

Apabila ia tidak sembuh selepas enam hari.

Sakit yang disertai dengan sakit kepala, demam dengan suhu yang tinggi, sakit perut, muntah dan anak berasa sangat letih.


Adanya ruam

Sukar menelan dan bernafas.

Sakit Tekak

Kebanyakan jangkitan tekak disebabkan virus

Simptom sakit tekak termasuk demam dan kelenjar limfa yang membengkak pada bahagian leher

Rawatan terbaik adalah antibiotik.



Sumber: Berita Minggu  13.5.2007

Tiada ulasan:

Catat Ulasan