Jumaat, 15 Julai 2011

Pneumonia bahaya bagi bayi bawah lima tahun

KANAK-KANAK memang kerap diserang batuk, demam dan selesema terutama jika diletakkan di pusat asuhan kanak-kanak kerana ibu bapa bekerja.

Bagaimanapun jangan ambil ringan terhadap kekerapan masalah kesihatan sebegitu kerana ia mungkin sebahagian daripada tanda anak anda mengalami pneumonia.

Pneumonia merujuk kepada jangkitan paru-paru yang membuatkan seseorang itu sukar bernafas. Bagi kebanyakan orang ia mudah dirawat dan tidak menyebabkan kerosakan paru-paru kekal, tetapi bayi atau kanak-kanak di bawah usia lima tahun, keadaan ini mungkin serius dan perlu rawatan lanjut.

Dalam kebanyakan kes pneumonia, saluran udara pada paru-paru dipenuhi nanah dan lendir yang menyebabkannya tidak dapat berfungsi sebaik-baiknya. Justeru, oksigen tidak sampai ke dalam darah dan sel tubuh.

Pakar Perunding Kanak-Kanak Hospital Pusrawi Sdn Bhd, Dr Kamaruddin Ahmad, berkata pneumonia adalah masalah jangkitan paru-paru yang sangat biasa di kalangan kanak-kanak Malaysia.

�Ia awalnya bermula dengan keradangan paru-paru (bronkitis) sebelum bertukar menjadi lebih serius iaitu pneumonia,� katanya.

Mengikut Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2004, pneumonia masih menjadi penyebab utama kematian kanak-kanak di seluruh dunia. Ia bukan saja menjadi masalah di negara membangun tetapi juga negara maju seperti Amerika. Pneumonia berada pada tangga ketujuh, penyebab kematian di Amerika malah pada 2003, 63,241 kematian dicatatkan disebabkan pneumonia.

Pneumonia mungkin sukar dikesan pada kanak-kanak yang aktif, tetapi kata Dr Kamaruddin, secara umum pneumonia boleh dikesan menerusi perubahan sifat kanak-kanak itu.

�Jika bayi, dia akan banyak meragam, tidak mahu minum susu dan tidak aktif. Bagi kanak-kanak yang aktif, mungkin sedikit sukar mengesan gejala pneumonia tetapi jika dia batuk berpanjangan selama tiga hari, ibu bapa sepatutnya menyedari risiko pneumonia,� katanya.

Ada lebih 50 jenis pneumonia bermula dari tahap paling lemah ke tahap paling serius dan mengancam nyawa. Walaupun tanda dan simptomnya pelbagai, kebanyakan gejala pneumonia terjadi secara tiba-tiba seperti sakit dada, demam, batuk, nafas pendek dan terasa sejuk. Jangkitan kadangkala diikuti selesema.

Dr Kamaruddin berkata, umumnya kanak-kanak yang menghidap pneumonia akan diserang demam diikuti batuk dan selesema. Kadangkala semua tanda itu tidak terjadi serentak.

Nafas pendek adalah satu-satunya simptom yang dihadapi kanak-kanak, tetapi jika pneumonia terjadi di bahagian bawah paru-paru berdekatan abdomen, dia mungkin tidak menghadapi masalah pernafasan sebaliknya demam dan muntah.

Jika pneumonia terjadi disebabkan bakteria, biasanya kanak-kanak akan sakit dengan cepat, suhu kepanasan tubuhnya tinggi dan bernafas pendek. Jika pneumonia disebabkan virus, simptom akan muncul perlahan-lahan. Nafas yang tercungap-cungap tanda biasa pneumonia disebabkan virus.

Dr Kamaruddin berkata, antara batuk biasa dan batuk disebabkan pneumonia ada perbezaan yang perlu diberi perhatian.

�Batuk biasa bunyinya �tidak dalam� berbanding batuk akibat pneumonia bunyinya �dalam� dan kerap terjadi waktu malam membawa ke pagi. Kahak berhimpun kerana itu lebih kerap batuk di sebelah malam,� katanya.

Pneumonia terjadi kerana jangkitan bakteria, virus, fungus dan parasit. Bagaimanapun semua faktor itu bergantung kepada usia. Secara umum antara bakteria yang menyebabkan pneumonia adalah �Streptococcus pneumoniae�, �Haemophilus influenzae�, �Chlamydia trachomatis�,�Mycoplasma pneumoniae� dan �Legionella pneumophila�.

Semua tanda ini kadangkala sukar dikesan pada kanak-kanak yang sudah berusia tiga tahun ke atas kerana mereka aktif dan kemungkinan pneumonia yang dihadapinya tidak teruk. Kanak-kanak kecil, tanda ini senang dikesan dan jika dia masih menyusu, dia tidak lagi mahu menyusu.

INFO

GEJALA

1) Demam, batuk lebih seminggu kadangkala demam saja diikuti batuk yang tidak surut selama tiga hari. Kadangkala demam dan batuk itu datang serentak.

2) Anak tidak aktif dan kurang selera makan.

3) Muntah (muntah, kurang selera makan dan anak tidak aktif menandakan jangkitan yang kuat)

4. Pernafasannya akan berbunyi dan akan kelihatan tercungap-cungap

5. Sejuk

6. Sakit dada

7. Dalam kes yang ekstrem, bibir dan kuku jari akan berwarna kebiruan atau kelabu.

Komplikasi Pneumonia

a) Bakteria dalam salur darah - pneumonia boleh menyebabkan kematian apabila keradangan daripada penyakit ini memenuhi pundi udara dalam paru-paru dan mengganggu keupayaan bernafas. Dalam sesetengah kes, jangkitan boleh masuk ke salur darah dan merebak ke bahagian organ lain.

b) Pengumpulan cecair dan jangkitan sekitar paru-paru - kadangkala pengumpulan cecair pada kedua paru-paru, selaput paru-paru (pleura) dan membran bahagian dalam dinding dada. Keadaan ini dikenali sebagai �pleural effusion�. Selalunya selaput paru-paru selembut sutera membenarkan paru-paru �menggelungsur� dengan mudah bersama dengan dinding dada setiap kali bernafas. Tetapi jika selaput paru-paru berada dalam keradangan yang selalunya disebabkan pneumonia, cecair akan terkumpul dan boleh berlakunya jangkitan. Dalam kes sebegini, prosedur pembedahan diperlukan untuk membersihkan bahagian jangkitan.

c) Paru-paru membengkak dan bernanah - nanah mungkin terbentuk di kawasan yang dijangkiti pneumonia. Selalunya ia dirawat dengan antibiotik tetapi ada juga kes, paru-paru yang dijangkiti terpaksa dibuang.

RAWATAN

a) Selalunya kanak-kanak akan diberikan vaksin menentang pneumonia. Di Malaysia, vaksin pencegahnya tidak disenarai dalam carta imunisasi kebangsaan, justeru kebanyakan ibu bapa mendapatkannya melalui hospital swasta.

b)Antibiotik yang selalunya membantu melegakan.

FAKTA
Bakteria terhasil dalam paru-paru

PARU-PARU adalah dua organ berongga yang dikelilingi, membran lembap dan nipis dikenali sebagai selaput paru-paru (pleura). Paru-paru kanan memiliki tiga lobar (lobe - bahagian berbentuk bulat) dan paru-paru kiri memiliki dua lobar. Dianggarkan, 90 peratus paru-paru dipenuhi udara dan 10 peratus dipenuhi tisu.

Apabila seseorang itu menarik nafas, udara memasuki paru-paru dari trakea melalui bronkus. Seperti cabang pokok, bronkus ini terbahagi kepada jutaan laluan udara dinamakan bronkiol.

Pada setiap paru-paru orang dewasa ada jutaan saluran kecil dinamakan alveoli (saluran udara bersifat mikro dalam paru-paru) yang membenarkan oksigen dan karbon dioksida melaluinya dari kapilari.

Selalunya pneumonia terjadi selepas jangkitan pada bahagian atas sistem pernafasan (jangkitan pada hidung dan tekak). Apabila ini terjadi, simptom pneumonia akan mula kelihatan selepas tiga atau dua hari ditandai dengan selesema dan sakit tekak.

Sistem imun tubuh selalunya menghalang bakteria menjangkiti paru-paru, tetapi dalam kes pneumonia, bakteria akan terhasil dalam paru-paru sementara tubuh cuba melawan jangkitan ini. Tindak balas tubuh pada penaklukan bakteria ini dinamakan keradangan.

Apabila keradangan terjadi dalam alveoli ia akan dipenuhi cecair. Paru-paru akan kurang elastik dan tidak dapat menyampaikan oksigen ke dalam darah atau membuang karbon dioksida dari darah seperti selalunya.

Jika alveoli tidak berfungsi dengan baik, paru-paru terpaksa berkerja lebih keras untuk memenuhi keperluan oksigen tubuh. ini menyebabkan munculnya simptom nafas pendek. Keradangan menyebabkan banyak lagi simptom seperti demam dan sakit dada. Pneumonia boleh menjadi serius kerana ia mengganggu keupayaan tubuh menukar karbon dioksida dan oksigen.


Petikan: Berita Minggu 9/7/06

Tiada ulasan:

Catat Ulasan