Jumaat, 22 Julai 2011

Petua tingkat prestasi enjin motosikal

ADA pemilik motosikal termasuk jenis kapcai tidak berpuas hati dengan prestasi enjin yang kadang kala tersekat-sekat apabila meluncur antara 60 hingga 90 kilometer sejam.

Ada juga yang mengalami gangguan ketika menukar klac baru, malah sesetengahnya risau kerana enjin mati di pertengahan jalan.

Sebenarnya, banyak perkara boleh dibuat untuk meningkatkan prestasi enjin. Selain pengubahsuaian karburetor dan ekzos penukaran kotak gear standard kepada kotak gear perlumbaan boleh dibuat walaupun kosnya tinggi.

Begitu juga dengan pengubahsuaian sistem penyalaan enjin. Palam pencucuh walaupun hanya satu komponen kecil enjin dapat menyumbang kepada peningkatan kuasa dan ini membabitkan komponen berkaitan seperti kabel plug dan gegelung utama atau �main-coil� menghasilkan api kepadanya.

Pada peringkat awal pengubahsuaian mungkin boleh menumpukan perhatian kepada bahagian asas dulu seperti penukaran piston perlumbaan (racing), porting atau pengilatan salur masuk bahan api untuk melawaskan kemasukan bahan api dan pengeluaran gas ekzos.

Selain itu, pengubahsuaian kotak udara menggunakan penapis udara "free-flow" lebih cekap seperti K&N juga boleh dipertimbangkan.

Jangan dibuang terus penapis udara kerana ini menyebabkan kerosakan pada dinding piston dan silinder yang serius.

Peningkatan kuasa enjin harus disesuaikan pada semua bahagian enjin dan jentera itu sendiri.

Peningkatan pengeluaran kuasa daripada pembakaran memerlukan sistem ekzos lebih lawas dan ini memerlukan sistem brek lebih cekap, tayar lebih baik serta suspensi untuk memberi kawalan sepatutnya pada jentera secara keseluruhan, terutama apabila keadaan memerlukan seperti mengambil selekoh tajam dan membrek kecemasan.

Pemilihan palam pencucuh sebenarnya mengikut corak pemanduan individu dan perlu berpandukan keadaan palam pencucuh berkenaan. Buka dan perhatikan keadaan palam pencucuh motosikal sama ada ia terlebih panas dan mempunyai kesan seperti warna putih dan tukar kepada yang lebih panas jika ini terjadi.

Ada juga bukan berpunca daripada palam pencucuh tetapi lebih kepada campuran bahan api yang terlalu banyak atau �rich�, kerana letusan terjadi sewaktu memperlahankan jentera membayangkan bahan api tidak habis terbakar sewaktu pembakaran. Ia mungkin sebab mengapa motosikal anda tersekat-sekat sewaktu pemanduan.

Masalah ini juga boleh menggambarkan penapis udara tersumbat dan perlu diganti. Harus dinyatakan bahawa panduan hanya panduan pengeluar dalam keadaan pemanduan biasa.

Jika menunggang motosikal dalam keadaan ekstrem seperti jalan yang banyak habuk, penukaran penapis udara perlu dilakukan lebih kerap untuk disesuaikan dengan keadaan pemanduan anda.

Bagi enjin yang melahu atau �idle� turun naik selalunya menggambarkan masalah bahan api yang tidak sekata.

Masalah ini mungkin disebabkan karburetor kurang baik atau mengalami kebocoran angin yang disedut masuk, menyebabkan campuran bahan api menjadi tidak sekata sewaktu melahu.

Kebocoran ini mungkin datang dari kotak udara atau dari sisi silinder karburetor yang haus. Kemungkinan juga melalui getah penutup atas karburetor yang rosak.

Timing chain yang rosak selalunya amat bising dan jarang menghasilkan kelajuan melahu turun naik walaupun kemungkinan ia terjadi pada timing chain yang terlalu memanjang dan tidak lagi dapat ditegangkan oleh penegang atau tensioner.

Ada juga yang ingin tahu mengenai jangka masa penyimpanan motosikal hingga berbulan-bulan.

Kemungkinan terjadinya kerosakan tetap ada walaupun risikonya rendah. Sebaik-baiknya, tanggalkan terminal atau kepala bateri anda untuk melindungi bateri dari mengecas (discharging) dan pastikan bateri dicas semula sebelum anda menggunakan kembali motosikal.

Tutup motosikal dengan baik untuk mengelakkan serangga daripada bersarang di tempat yang tidak dikehendaki seperti kotak udara (airbok) dan pastikan tempat penyimpanan motosikal bebas dari gangguan tikus dan lipas yang mungkin berselera melihat jalinan wayar yang berwarna warni.

Seeloknya tutup lubang ekzos dan lubang kotak udara untuk mengelakkan kelembapan udara dari masuk ke bahagian enjin.

Mampatkan juga kebuk pembakaran dengan menekan penghidup tendang atau starter supaya piston berada di kedudukan paling teratas (top dead centre). Ini bertujuan melindung udara lembap daripada memasuki kebuk pembakaran dan menyebabkan karat.

Rujukan: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan