Ahad, 17 Julai 2011

Masalah obes perlu kawal makan, bersenam

RAMAI yang pernah mendengar dan tahu apa maknanya 'obes'. Secara umumnya obes merupakan satu keadaan di mana terdapat lemak secara berlebihan dalam badan.
Apabila seseorang itu mengalami obes, dia bukan sahaja akan berada dalarn keadaan kurang berkeyakinan kerana faktor badan yang sedemikian, malah yang paling penting bakal mengalami masalah kesihatan.
Antaranya yang paling kerap dikaitkan dengan obes ialah masalah jantung dan kencing manis.
Menurut Konsultan Kanan Pakar Endokrin dan Naib Presiden Persatuan
Diabetes Malaysia, Profesor Ikram Shah Ismail, seseorang perlu bertindak untuk mengawal masalah berkenaan sekiranya mengalami obes.
Kata Ikram, masalah obes juga merupakan 'penyakit kronik' yang memerlukan pengawalan rapi, sokongan dan rawatan yang berulang kerana obes sering berkait rapat dengan pelbagai jenis penyakit berbahaya.
Sebagaimana diketahui, berat badan seseorang boleh diukur menerusi BMI atau pun indeks jisim tubuh badan (BMI= berat (kg)/Ketinggian 2 (m).
Secara puratanya, golongan lelaki yang mempunyai >25 % lemak badan dan perempuan yang mempunyai lebih >35 % lemak di badan mengalami obes.
"Mungkin ramai yang ingin mengurangkan berat badan mereka dengan pelbagai cara seperti mengawal pemakanan, bersenam dan sebagainya.
"Namun tidak kurang juga dari kalangan kita yang terburu-buru dan tidak sabar untuk menunggu hasilnya dalam tempoh terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) dan Pengurusan Obesiti 2004 anjuran Persatuan Metabolik dan Endokrin Malaysia (MEMS) dan Persatuan Malaysia bagi Kajian Obesiti (MASO), baru-baru ini.
Buku panduan CPG berkenaan akan ditempatkan di semua klinik dan hospital sebagai panduan oleh mereka yang terlibat dalam bidang perubatan bagi masalah yang membabitkan obes.
Ikram berkata, sebenarnya bukan mudah untuk menurunkan berat badan. Tetapi melalui pengawalan pemakanan, senaman dan sokongan daripada pihak-pihak profesional ia boleh membantu.
Beliau memberitahu, kehilangan berat badan yang sesuai ialah lebih kurang 0.5 ke satu kilogram dalam tempoh enam bulan percubaan.
Menurutnya, kehilangan berat badan cara seperti ini adalah normal, tidak terlalu tergesa-gesa dan tidak memudaratkan.
"Jika anda dapat mempertahankan penurunan berat badan sebanyak 10 peratus daripada berat badan asal, anda perlu pertahankan untuk mendapatkan penurunan yang kekal dan seimbang," katanya.
Dalam pada itu beliau menambah, pergerakan fizikal merupakan sebahagian daripada kaedah terapi bagi menurunkan berat badan.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya seseorang individu itu memerlukan pergerakan sederhana anggaran 45 hingga 60 minit sehari untuk mengurangkan berat badan dan kekal sihat.
Dalam pada itu Konsultan Endokrin dari Unit Endokrin, Hospital Putrajaya, Dr. Zanariah Hussein pada majlis yang sama menerangkan, secara keseluruhannya kira-kira 11.5 peratus rakyat Malaysia terdiri daripada mereka yang kurang berat badan.
Dalam pada itu kira-kira 20.1 peratus adalah gemuk, 3.8 peratus di dalam lingkungan obes di peringkat pertama dan kedua serta obes di peringkat ketiga (keterlaluan) sebanyak 0.2 peratus.
Hasil kajian yang dijalankan pada tahun 2002 itu juga menunjukkan, sebanyak 12.3 peratus masyarakat keturunan Melayu di negara ini diletakkan di bawah kurang berat badan, sebanyak 19.9 peratus ,pula berlebihan berat badan, 4,2 peratus mengalami obes peringkat pertama dan kedua serta 0.2 peratus obes yang keterlaluan.
"Bagi kaum Cina pula, sebanyak 9.2 peratus diletakkan di bawah kurang berat badan, 23.9 peratus gemuk, 4.7 peratus adalah obes dan 0.1 peratus adalah obes keterlaluan.
"Bagi masyarakat India pula, sebanyak 10.7 peratus adalah kekurangan berat badan, 23.7 peratus gemuk, 3.7 peratus adalah obes dan 0.1 peratus di dalam lingkungan berat badan keterlaluan," katanya.
Apabila di tanya bagaimana bentuk ukuran BMI yang dikatakan penentu kepada berat badan, katanya, BMI lebih kecil daripada 18 adalah dikategorikan sebagai kurang berat badan, 18 hingga 24.9 adalah berat badan normal, 25 hingga 29.9 adalah berat badan berlebihan (gemuk), 30-34.9 adalah obes peringkat pertama, 35-40 obes di peringkat kedua dan lebih daripada 40 adalah obes
di peringkat ketiga atau keterlaluan.
Secara berseloroh beliau berkata, golongan lelaki dan wanita perlu berhati-hati sekiranya ukuran pinggang mereka telah melebihi 94 sentimeter bagi lelaki dan 80 sentimeter bagi wanita.
Ini memandangkan, sekiranya ukur lilit pinggang telah mencapai ke angka berkenaan, mereka telah memasuki alam 'obes'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan