Ahad, 17 Julai 2011

Kudis buta biak bawah kulit

Oleh Hanisah Selamat

Telur hama menetas dalam tempoh tiga hari, boleh berjangkit menerui sentuhan, berkongsi pakaian dan tilam

KUDIS buta pasti membuatkan si kecil tidak senang duduk kerana asyik menggaru tanpa henti sekali gus menyebabkan luka semakin teruk. Kanak-kanak memang senang terdedah kepada penyakit itu, tambahan pula kudis buta mudah berjangkit. Fenomena kurang menyenangkan itu sudah tentu merisaukan ibu bapa terutama yang menghantar anak ke pusat asuhan atau tadika.

Perunding Pediatrik, Dr S Selvakumar, berkata kudis buta atau scabies terjadi disebabkan serangan hama dikenali sebagai Sarcoptes Scabies yang mudah berjangkit dari individu ke individu lain terutama dalam komuniti padat seperti di pusat asuhan, asrama atau rumah penjagaan orang tua. Ia boleh menyerang sesiapa saja, namun anak kecil lebih terdedah kerana mereka belum pandai menguruskan kebersihan diri.

Katanya, �perpindahan� hama boleh berlaku menerusi sentuhan secara langsung iaitu membabitkan pergerakan hama betina yang bertapak di bawah kulit manusia seterusnya bertelur di situ, manakala hama jantan pula mati selepas kedua-duanya �berpasangan� untuk membiakkan lagi baka.

�Habitat paling disukai hama adalah di bawah kulit. Ia akan tertanam dan membiak di situ. Kebiasaannya hubungan rapat yang terjalin memudahkan risiko kudis buta berjangkit terutama di kalangan ahli keluarga, rakan sebilik di asrama dan pusat asuhan bagi si kecil. Berkongsi tilam, bantal, tuala atau pakaian turut membawa risiko besar untuk dijangkiti.

�Pada peringkat awal, pesakit akan mengalami masalah gatal berpanjangan berikutan tindak balas badan terhadap hama dan telur. Tanda ketara ialah bengkak seperti gelembung halus pada permukaan kulit lembap sama ada di tapak tangan dan kaki, celah jari, ketiak, punggung serta kemaluan.

�Walaupun kudis buta bukan tergolong mengikut senarai sakit kronik, jika tidak dirawat dengan segera ia boleh menjangkiti seluruh ahli keluarga dan orang terdekat dengan pesakit. Malah kehadiran kudis buta boleh mengakibatkan tekanan emosi dan rasa rendah diri kepada individu terbabit terutama kanak-kanak,� katanya.

Proses pembiakan generasi hama itu sentiasa berulang dan ia terus merebak ke kawasan dengan pantas apabila pesakit menggaru bahagian berkenaan. Jika mampu bertahan, individu dinasihatkan jangan menggaru kerana ia menyukarkan diagnosis doktor serta menyebabkan jangkitan kuman.

Menyentuh kesan emosi kepada si kecil, beliau berkata, mereka mungkin dipulaukan rakan sebaya jika didapati mempunyai masalah kudis buta dan sekali gus boleh memberikan tekanan, menimbulkan rasa malu, rendah diri dan menghadapi kesukaran bergaul.

�Dalam usia ini kanak-kanak sukar memahami sesuatu keadaan. Justeru, perasaan malu tidak mampu dielakkan jika diejek rakan hanya disebabkan kudis buta. Sokongan ibu bapa amat diperlukan, termasuk segera mendapatkan rawatan selain menitik beratkan penjagaan kebersihan anak mereka.

�Kudis buta boleh merebak dengan pantas. Kesannya juga boleh dilihat hanya dalam beberapa hari bermula bengkak, tanda merekah, menggelupas dan luka akibat garu. Telur hama pula menetas dalam masa tiga atau empat hari seterusnya membesar dalam tempoh dua minggu. Ia akan terus membiak di bawah kulit pesakit,� katanya.

Walaupun hanya sebesar 300 mikron, hama scabies mampu membiak dengan banyak. Antara kesan yang mungkin ditinggalkan selepas kudis buta dapat disembuhkan adalah tanda kehitaman yang tampak mencacatkan kulit penderita.

Selain kudis buta, penyakit kulit yang biasa menyerang kanak-kanak ialah Impetigo atau kudis yang disebabkan kuman Staphylococcus atau Streptococcus. Ia mudah berjangkit melalui sentuhan berterusan dan kerap terjadi di sekitar mulut dan hidung selain celah pelipat seperti sekitar lutut dan siku.

Gelembung merah kecil terjadi seterusnya pecah dan kelihatan seperti kulit melecur. Ia mengeluarkan air dan membentuk kerak kulit berwarna perang kekuningan. Kesannya pesakit yang dijangkiti impetigo mungkin mengalami demam, lemah anggota badan dan kadangkala cirit serta mendapat jangkitan kelenjar.

Jangkitan ini dapat dirawat dengan mencuci bahagian berkudis dan menyapu krim antibiotik. Selalunya ia mengambil masa antara lima hingga tujuh hari sebelum kudis kering dan sembuh. Selain berisiko menghadapi masalah buah pinggang, kesan impetigo yang lain termasuk jangkitan sendi dan tulang.

Rawatan

Bagi kudis buta, penggunaan sapuan ubat racun hama jenis losyen atau krim crotamiton (Eurax) dapat mengurangkan komplikasi. Ia dilumur pada seluruh badan dari tengkuk ke bawah sebelum waktu tidur. Seelok-eloknya pesakit perlu mandi dengan air suam untuk membuka liang roma sebelum disapu ubat losyen. Ubat tahan gatal seperti piriton pula mampu mengurangkan gatal waktu malam.

Tanda

Gatal berpanjangan.

Muncul garis halus kemerahan di bawah kulit.

Kehadiran gelembung kecil berair pada kulit.

Rasa gatal bertambah teruk pada waktu malam iaitu waktu hama betina bertelur.

Tempat kesukaan hama - tapak tangan dan kaki, celah jari, ketiak, punggung serta kemaluan.

Pencegahan

Elakkan bersentuhan dengan pesakit atau jika menghidapi kudis buta, ubati segera dan seelok-eloknya jauhkan diri daripada orang lain.

Pastikan kebersihan diri.

Jangan berkongsi pakaian atau barangan peribadi seperti tuala.

Rendam pakaian dalam air panas.

Jemur tilam, bantal dan permaidani di bawah terik matahari.

Sumber: Berita Minggu 24.9.2006

Tiada ulasan:

Catat Ulasan