Jumaat, 15 Julai 2011

JANGKITAN SALURAN KENCING

Jangkitan ini boleh menyerang mana-mana bahagian saluran kencing. Ini termasuk ginjal, pundi kencing dan uretra (tiub yang menyambungkan pundi kencing dengan bahagian luar tubuh badan). Biasanya bahagian yang terlibat ialah lapisan pengalas pundi kencing. Keadaan ini dikenali sebagai sistisis.

Anak perempuan lebih kerap menghidap penyakit ini berbanding lelaki. Ini kerana uretra perempuan adalah lebih pendek dan mikrob yang terlibat mudah sampai ke pundi kencing. Kadangkala anak tidak membasuh bahagian kemaluannya dengan bersih selepas menggunakan tandas. Jika dia menyapu dari dari belakang ke depan, kesan tinja yang tinggal mungkin mengenai bukaan uretranya dan menyebabkan jangkitan. Jarang sekali keabnormalan saluran kencing menjadi punca jangkitan. Tanda jangkitan yang biasa ialah rasa sakit semasa membuang air kecil dan kekerapan membuang air kecil.

Adakah ini serius?

Jangkitan saluran kencing adalah serius.

Tanda-tanda

Sakit atau pedih bila membuang air kecil.
Kerap membuang air kecil. Ini boleh menyebabkan anak kencing malam.
Demam.
Air kencing berbau busuk dan/atau keruh.
Sakit di bahagian bawah abdomen.
Sakit di bahagian bawah belakang badan.
Apakah tindakan pertama?

Jika anak mengadu sakit semasa membuang air kecil, periksa suhu badannya.
Tentukan sama ada air kencingnya keruh atau berbau busuk.
Kerap memberi anak minum air untuk membersihkan ginjalnya.
Letak botol air panas pada bahagian belakang anak jika dia mengalami sakit di bahagian bawah belakang badan.
Perlukah saya berjumpa doktor?

Bawa anak berjumpa doktor dengan segera jika anak mengadu sakit bila membuang air kecil.

Apakah tindakan doktor?

Doktor akan memeriksa anak dan mengambil sampel air kencing untuk diuji tentang jenis organisme yang menyebabkan jangkitan. Doktor akan mengesyorkan rawatan yang sesuai. Ini biasanya dengan antibiotik.
Jika jangkitan berulang, doktor mungkin merujuk anak kepada pakar pediatrik untuk dilakukan siasatan sepenuhnya untuk memastikan keabnormalan anatomi.
Bagaimanakah saya boleh membantu?

Latih anak cara mengelap yang betul selepas mencuci diri iaitu mengelap dari depan ke belakang supaya uretranya tidak dicemari tinja.



Stoppard, Miriam. Panduan Penjagaan Kanak-kanak. Tropical Press, 1998. ms 124.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan