Isnin, 18 Julai 2011

Darah beku punca sakit kepala

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN

SIAPA sangka, bermula dengan masalah sakit kepala yang dianggap migrain, hanya dalam tempoh setahun kesan akibat masalah berkenaan menjadi lebih teruk.

Itu yang berlaku kepada Saiful Nizam Mohamad, 26, pada awal 2005. Tanpa menyedari masalah itu sebenarnya serius kerana membabitkan salur darah dalam otaknya, pada penghujung 2005 Saiful bukan saja tidak mampu menahan sakit, malah dia turut berdepan masalah baru apabila penglihatannya menjadi kabur dan tangan kanannya semakin lemah.

Kemuncak kepada masalah berkenaan ialah, satu ketika Saiful tidak lagi mampu bekerja, memandu kereta dan melihat makanan di depan mata.

Seperti dipaparkan dalam rancangan Medik TV semalam, anak kelahiran Dungun, Terengganu itu menemui Pakar Bedah Otak dan Saraf, Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur, Dr Abdul Muin Ishak bagi melakukan pemeriksaan lanjut.

Hasilnya, Saiful dikesan menghidap sejenis penyakit dikenali Arteriovenous Malformation (AVM) yang membabitkan masalah pembentukan salur darah tidak normal di bahagian otak. Lebih membimbangkan, salur darah itu pecah, mengakibatkan berlaku pendarahan dalam otak.

Justeru, menurut Dr Abdul Muin, adalah penting Saiful menjalani pembedahan bagi membuang salur darah berkenaan sebelum berlaku komplikasi lebih teruk sehingga membawa maut.

Bagaimanapun, Saiful keberatan menjalani pembedahan apabila pelbagai pihak, terutama rakan, memberikan persepsi menakutkan terhadap kesan yang bakal diterimanya.

Namun selepas diberi penerangan rapi oleh doktor mengenai semua risiko yang mungkin berlaku, Saiful akur dengan nasihat doktor kerana jika penyakitnya dibiarkan tanpa pembedahan, risiko lebih besar menantinya.

Dalam pada itu, Dr Abdul Muin berkata, berdasarkan pengalamannya, ramai pesakit tidak tahu mereka ada penyakit AVM dalam otak, menyebabkan 60 peratus pesakit berkenaan menjalani pemeriksaan doktor selepas berlaku pendarahan dalam otak.

Katanya, penyakit AVM dikesan berpandukan simptom yang berlaku kepada pesakit.

�Selain simptom yang ada pada Saiful, ada juga pesakit AVM menderita masalah sawan.

�Berdasarkan kajian, pesakit AVM seperti Saiful yang kali pertama menderita penyakit berkenaan mempunyai 50 peratus kemungkinan menderita penyakit sama, malah boleh membawa maut,� katanya.

Sebelum pembedahan, Saiful menjalani pemeriksaan mata dengan pakar bedah mata, Dr Rozita Ahmad. Ini kerana, bahagian otak yang akan dibedah membabitkan bahagian otak yang mengawal penglihatan.

Selepas pemeriksaan mendapati bahagian penting mata seperti kornea, urat mata dan retina dalam keadaan baik, tiada masalah untuk Saiful menjalani pembedahan.

Menurut Dr Abdul Muin, Saiful dibedah menggunakan kaedah craniotomy membabitkan pembukaan sebahagian kecil tempurung kepala.

Katanya, ia kaedah terbaik yang dapat menghalang pendarahan daripada berulang.

Pembedahan dimulakan dengan prosedur awal membabitkan pemberian bius dan mengambil alih pernafasan Saiful menggunakan mesin.

Sejenis alat dinamakan �mayfield head clamp� kemudian digunakan bagi menstabilkan kepala dan menghalang sebarang pergerakan di kepala Saiful.

Untuk �melekatkan� alat berkenaan, tebukan kecil pada bahagian kiri dan kanan kepala Saiful dibuat sebelum diikat menggunakan skru yang menembusi kira-kira dua milimeter ke dalam tempurung kepala.

Pembedahan terhadap Saiful perlu dilakukan dengan berhati-hati dan teliti kerana bahagian bermasalah terletak berdekatan salur darah utama otak.

Disebabkan itu, selain menandakan bahagian kulit kepala yang akan �dibuka� melalui kaedah insisi, Dr Abdul Muin menandakan salur darah itu bagi mengelak insisi dilakukan di bahagian berkenaan kerana sebarang kecederaan boleh membawa maut.

Suntikan bius setempat dan penggunaan klip khas yang bertindak mengecutkan salur darah dan mengurangkan pendarahan turut dilakukan pada bahagian kulit yang dibuka.

Pada masa sama, pemotongan lapisan bawah kulit kepala menggunakan alat �diathermy� mampu menghentikan pendarahan berikutan ia bertindak membakar salur darah terbabit.

Sebelum tebukan pada tempurung kepala dilakukan, selaput pada tempurung dikikis. Empat tebukan menjadi panduan bagi Dr Abdul Muin bagi mengeluarkan tempurung kepala berkenaan.

Ia dilakukan menggunakan alat gergaji khas yang berkemampuan untuk memotong tempurung kepala.

Sebaik dikeluarkan, kelihatan otak Saiful mengalami tekanan tinggi dan menekan pada bahagian tempurung kepala.

Membran �dura� yang melindungi jangkitan kuman pada bahagian otak kemudian dipotong untuk membolehkan bahagian sebenar otak Saiful �diteroka�.

Meskipun kedudukan salur darah bermasalah di bahagian otak Saiful dikesan melalui pemeriksaan pengimbas otak Imej Gema Magnetik Berfungsi (MRI) dan angiogram, saiz dan kedudukan sebenar salur darah itu hanya dapat diketahui ketika pembedahan dilakukan.

Memandangkan otak bahagian yang sangat sensitif, usaha mengesan salur darah dilakukan dengan berhati-hati tanpa membuang sebarang tisu di bahagian otak sehingga terpaksa mengambil masa lama.

Ketika proses mengesan dilakukan, sejenis cecair digunakan bagi memastikan otak sentiasa dalam keadaan basah kerana jika otak dibiarkan kering, salur darah mungkin mengembang dan pecah, mengakibatkan masalah pendarahan tidak terkawal.

Pada masa sama, dua pain bekalan darah diberikan kepada Saiful bagi menggantikan darah yang hilang ketika pembedahan.

Dalam tempoh dua jam, prosedur pembedahan yang dianggap paling kritikal dan berisiko itu berjaya dilakukan. Segumpal darah beku yang menjadi punca kepada masalah sakit kepala Saiful dan bahagian salur darah bermasalah ditemui.

Darah beku berkenaan berjaya dikeluarkan, manakala salur darah bermasalah itu dibakar menggunakan alat �diathermy� dan turut dikeluarkan.

Selepas memastikan tiada pendarahan, membran �dura� yang menyelaputi otak disambung semula, diikuti dengan �mengikat� semula bahagian tempurung kepala yang dikeluarkan menggunakan empat plate dan lapan skru titanium.

Dr Abdul Muin berkata, tempurung kepala Saiful akan bersambung semula dan dianggarkan mempunyai tahap kekuatan seperti sedia kala dalam tempoh tiga hingga enam minggu.

Katanya, plate dan skru titanium yang digunakan pula dijamin selamat dibiarkan kekal di tempurung kepala Saiful.

Selepas lapisan dalam kulit dijahit menggunakan sejenis benang yang mampu larut sendiri, lapisan luar pula ditutup menggunakan �stapler� untuk tempoh seminggu sebelum di buka semula, pembedahan Saiful selesai mengikut perancangan dalam tempoh lima jam.

Saiful yang ditemui wartawan Medik TV, Irin Putri Azmi tiga hari selepas pembedahan dilakukan, kelihatan ceria dan menunjukkan tanda semakin pulih daripada penderitaan dialami.

Untuk pulih sepenuhnya, Saiful dinasihatkan doktor supaya berehat dua bulan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan