Isnin, 18 Julai 2011

Cegah, Kawal Diabetes

PENCEGAHAN lebih baik daripada rawatan. Namun, bagi sesetengah orang yang menghidap diabetes atau kencing manis, kehidupan seterusnya boleh dinikmati secara sihat jika tahu cara mengawal penyakit.

Diabetes dihidapi manusia seluruh dunia dan menjadi penyakit kronik paling kerap berlaku di negara maju dan membangun.

Diabetes menjadi epidemik global apabila paras gula dalam darah melebihi had normal.

Kajian Morbiditi Kebangsaan kedua pada 1996 mendapati, lapan peratus rakyat negara ini menghidap diabetes. Pakar kesihatan menjangka kadar ini akan terus meningkat jika masyarakat tidak prihatin mengenai masalah yang berkaitan dengannya.

Secara umum, penghidap diabetes menghadapi risiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit kardiovaskular, terutama sakit jantung, kerana tahap glukosa darah yang tinggi (hiperglisemia) boleh merosakkan salur darah, lantas menambah kecenderungan meningkatkan tahap lemak darah menjadi tidak normal (dislipidemia) dan tekanan darah tinggi (hipertensi).

Bagaimanapun, risiko ini boleh dikawal atau dikurangkan dengan penjagaan rapi tahap glukosa darah supaya ada dalam julat normal (kurang 6.0 mmol/liter ketika berpuasa atau di bawah 7.8mmol/liter selepas makan).

Terbukti ramai penghidap diabetes mampu menjalani kehidupan mereka seperti individu lain dengan mendalami pengetahuan mengenai ibu segala penyakit ini. Mereka berjaya mengawal kesihatan dan melewat atau mencegah berlakunya pelbagai komplikasi kencing manis. Melalui amalan gaya hidup sihat dan rawatan berkesan, ramai berjaya meniti usia lanjut dalam keadaan aktif dan produktif.

Komplikasi diabetes seperti serangan jantung, strok, kegagalan jantung, kegagalan buah pinggang serta komplikasi lain boleh dielak atau ditangguhkan jika pesakit dan ahli keluarga mereka tahu mengawal penyakit.

Petua mengawal penyakit diabetes

Jika anda menghidap diabetes, anda harus sedar ada dua perkara perlu dikawal, iaitu paras glukosa dan lemak dalam darah dan tekanan darah untuk mengelak kemudaratan. Tiga faktor mempengaruhi diabetes, iaitu:


Paras glukosa darah yang melebihi julat normal

Sebagai penghidap diabetes, anda perlu memastikan paras glukos darah ada dalam julat yang ditetapkan doktor berdasarkan umur, tahap kesihatan am dan corak aktiviti fizikal anda, iaitu kurang 6.0 mmol/liter (ketika berpuasa) dan kurang 7.8 mmol/liter (selepas makan).

Semakin lama anda membiarkan glukosa darah pada paras tinggi, semakin banyak lagi produk mengandungi glukosa akan ada dalam sistem darah anda.

Keadaan ini merosakkan sel pada lapisan dalam dinding salur darah, memudahkan platelet, iaitu sel pembekuan darah, melekat antara satu sama lain dan menggalakkan longgokan lemak pada salur darah, terutama arteri koronari yang memberi bekalan darah kepada jantung anda. Proses ini dikenali sebagai aterosklerosis, yang menyebabkan salur darah tersumbat iaitu punca penyakit jantung.

Produk yang tepu dengan glukosa boleh merosakkan mata, buah pinggang, saraf dan organ tubuh lain.


Paras lemak darah yang tidak seimbang

Lemak darah (lipid darah) beredar dalam bentuk kolesterol dan trigliserida. Trigliserida adalah bentuk tenaga simpanan yang utama. Lebihan lemak ini akan disimpan sebagai lemak badan, terutama pada punggung dan perut.

Paras trigliserida darah yang tinggi adalah satu-satunya faktor risiko penyakit kardiovaskular bagi pengidap diabetes. Oleh itu, anda harus mengawal tahap trigliserida supaya tidak tinggi dalam darah.

Kolesterol ialah bahan lemak seperti lilin yang hanya ada pada binatang dan tiada dalam makanan tumbuh-tumbuhan. Ia penting dalam pembentukan dinding atau membran sel serta; juga satu bahan untuk penghasilan sesetengah hormon seperti hormon seks.

Lebihan kolesterol dalam darah (hiperkolesterolemia) sangat berbahaya. Lipoprotein kepadatan rendah (LDL) yang sering dikenali sebagai kolesterol jahat, bertanggungjawab memendapkan kolesterol pada dinding saluran darah dan menyebabkan saluran menjadi semakin sempit, lantas meningkatkan risiko penyakit jantung.

Sebaliknya, lipoprotein kepadatan tinggi (HDL), iaitu kolesterol baik atau sihat, mengeluarkan kolesterol dari salur darah (arteri). Jadi anda harus mengekalkan tahap HDL yang tinggi.

Kadar lipid dalam darah bagi pesakit diabetes dibahagikan kepada tiga LDL (kurang 100 mg/dl), HDL (lebih 40mg/dl) dan trigliserida (TG, kurang 150 mg/dl).


Tekanan Darah Tinggi

Tekanan darah tinggi atau hipertensi selalu wujud bersama-sama dengan diabetes. Oleh itu, penghidap diabetes dinasihati mencapai matlamat tekanan darah kurang 130/80 mm Hg.

Gabungan hipertensi dengan paras gula tinggi dan lemak tidak normal secara berpanjangan boleh merosakkan salur darah besar (makrovaskular) dan salur darah kecil (mikrovaskular) dan memburukkan komplikasi yang berkaitan.

Ketiga-tiga faktor di atas saling mempengaruhi antara satu sama lain. Pengurusan diabetes yang sempurna memerlukan pesakit mengamalkan gaya hidup sihat dan mengambil ubat; jika perlu. Paling penting, patuhi arahan doktor.

Jika anda juga mengambil ubat tradisional, berbincang dulu dengan doktor. Anda perlu mengetahui apa ubat yang anda makan dan pastikan ia selamat serta ada bukti saintifik mengenai kandungan dan cara ia bertindak balas.

Belajar cara yang baik untuk mengurus tabiat makan dan membuat pilihan makanan. Petua menjaga pemakanan adalah pilih makanan seimbang dan kepelbagaian. Dengan menjaga pengambilan jumlah kalori dan karbohidrat, anda dapat mengawal paras glukosa darah.

Jumlah kalori keseluruhan, iaitu 50 hingga 60 peratus daripada karbohidrat manakala 25 hingga 30 peratus daripada lemak. Makanan berkarbohidrat seperti nasi, mi dan kuih muih harus dimakan dalam kuantiti sedikit. Bagi menggantikan karbohidrat, makan beras perang, roti segar, oat, bijirin, jagung dan capati.

Utamakan jenis makanan yang belum diproses sepenuhnya seperti bijirin mil penuh, kerana ia ada indeks glisemik rendah, iaitu dicerna dan diserap dalam tubuh dengan perlahan. Justeru, mengelakkan peningkatan glukosa darah dengan cepat.

Hadkan atau sebaik-baiknya tidak mengambil gula dan makanan manis seperti minuman ringan (kotak atau tin), kek dan manisan pencuci mulut akan turut membantu mengawal paras glukos dalam darah. Anda boleh menggunakan pemanis kalori rendah untuk menggantikan gula dalam minuman dan makanan.

Pastikan anda mengambil lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi kandungan serat dan kaya dengan antioksidan dalam pemakanan seharian. Makan lebih banyak ikan, kekacang, taufu dan kurangkan makanan laut, majerin, mentega, kepak, kulit dan kaki ayam. Minum susu rendah lemak dan kurangkan makan kuning telur tidak lebih daripada lima kali seminggu.

Cuba kurangkan pengambilan lemak, termasuk minyak masak dan lemak tersembunyi dalam kuih dan biskut, kerana lemak dapat meningkatkan tahap lipid. Elakkan memakan makanan yang kaya lemak tepu seperti produk tenusu penuh lemak (termasuk susu segar, susu penuh lemak, mentega, keju, tairu, mayonis) dan lemak daging (minyak sapi, lemak daging dan ayam).

Sesetengah minyak tumbuh-tumbuhan (minyak kelapa, santan) juga mengandungi lemak tepu.

Pengambilan lemak tepu perlu dihadkan kerana ia meningkatkan tahap LDL.

Ada dua jenis lemak tidak tepu, iaitu lemak mono tidak tepu dan lemak poli tidak tepu. Kedua-dua jenis lemak ini baik dari segi kesihatan kerana membantu mengurangkan LDL atau meningkatkan HDL. Sumber makanan yang kaya dengan lemak ini adalah minyak tumbuhan seperti kanola, zaitun, kekacang, jagung, bunga matahari dan soya.

Sejenis lagi lemak tak tepu ialah asid lemak omega-3, yang didapati dalam ikan seperti salmon dan juga tuna.

Semua daging dan produk binatang mengandungi kolesterol dan ini dapat meningkatkan tahap LDL. Pengambilan kolesterol yang disyorkan ialah tidak melebihi 200 mg sehari.

Antara makanan berkolesterol tinggi ialah udang, ketam, tiram, sotong, organ binatang (hati, otak, jantung, buah pinggang dan usus) dan kuning telur.

Serat ialah bahan dalam tumbuh-tumbuhan yang tidak boleh dihadamkan. Serat larut didapati daripada bijirin seperti oat, barli dan kekacang, manakala serat tidak larut didapati banyak dalam sayur-sayuran dan buah-buahan.

Individu mengalami paras kolesterol darah tinggi disarankan makan makanan kaya serat larut kerana serat ini mampu menyerap kolesterol dalam usus, lantas mengurangkan LDL dalam darah. Namun, untuk mendapat manafaat lebih, pengambilan kedua-dua jenis serat disyorkan. Untuk penuaan sihat, anda disyorkan mengambil serat dalam diet harian sebanyak 20 hingga 35 gram sehari.

Pengidap diabetes dan darah tinggi dinasihatkan mengawal pengambilan garam (Natrium klorida). Natrium adalah sejenis zat mineral penting untuk fungsi badan terutama jantung, otot dan saraf. Namun, natrium berlebihan dalam makanan boleh meningkatkan tekanan darah, khususnya jika anda menghidap diabetes dan mempunyai berat badan berlebihan.

Hadkan pengambilan natrium kepada kurang 2.4 gram sehari. Sumber utama natrium adalah garam, kicap, monosodium glutamate (MSG), makanan diproses (sosej, burger), makanan diawet (jeruk dan telur masin) dan makanan dalam tin.

Petua terakhir adalah menjalankan aktiviti fizikal. Senaman sederhana (contohnya 20 hingga 30 minit berjalan kaki pantas sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu) boleh meningkatkan pengambilan glukosa ke dalam sel yang secara tidak langsung menurunkan paras glukasa darah. Ini akan mengelakkan rasa lesu dan keletihan kronik berpunca daripada paras glukosa darah yang tinggi. Aktiviti fizikal juga mampu menurunkan tekanan darah.

Walaupun dengan pengurusan diet yang baik dan amalan fizikal yang kerap, anda mungkin perlu mengambil ubat-ubatan juga. Patuhi nasihat doktor. Jika kos menjadi masalah, bincang dengan doktor anda mengenai ubat-ubatan yang harganya lebih murah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan