Ahad, 17 Julai 2011

Apnea - Masalah Nafas Terhenti Dalam Tidur.

Tidur adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia. Berbagai-bagai proses pembaikpulihan tisu, fungsi badan dan saraf-saraf berlaku semasa kita tidur. Apnea merupakan sejenis sindrom di mana nafas terhenti ketika sedang tidur. Tidur yang mencukupi adalah penting untuk memastikan seseorang individu itu sentiasa berada di dalam keadaan yang segar dan bersedia untuk menjalani aktiviti-aktiviti seharian. TAHUKAH anda bahawa kemungkinan empat peratus daripada kita mengalami masalah berhenti bernafas dalam tidur (tidur apnea)?

Secara amnya, tidur terbahagi kepada dua iaitu peringkat bukan REM (REM adalah Rapid Eye Movement atau pergerakan mata laju), dan peringkat REM. Pada permulaan tidur, kita akan menempuhi peringkat bukan REM terlebih dahulu. Peringkat ini terbahagi kepada empat fasa, bergantung kepada tahap kenyenyakan tidur.

Dalam peringkat permulaan ini, individu yang sedang tidur tidak membuat pergerakan mata yang nyata, anggota badan boleh digerakkan manakala aktiviti otak pula adalah perlahan. Apabila tidur menjadi lebih nyenyak dan mula memasuki peringkat REM, mata akan mula bergerak-gerak, sedangkan otot-otot kecuali jantung akan menjadi lumpuh untuk sementara dan aktiviti otak menjadi aktif. Mimpi biasanya terjadi di dalam peringkat ini. Pusingan peringkat bukan REM dan REM akan berlaku berulang kali, setiap satu hingga dua jam sepanjang tidur seseorang individu yang sihat. Walau bagaimanapun, terdapat segolongan daripada kita yang menghadapi masalah untuk mendapatkan tidur yang memuaskan dan berkualiti.

Antara masalah tidur yang semakin mendapat perhatian masyarakat adalah Obstructive Sleep Apnea atau henti nafas semasa tidur untuk beberapa ketika (beberapa saat hingga melebihi satu minit), kerana saluran pernafasan yang tersekat sementara. Penyekatan saluran pernafasan ini boleh berlaku berulang kali semasa tidur walaupun otot-otot yang mengawal pernafasan berusaha keras untuk meneruskan pernafasan.

Apabila keadaan tidur dalam peringkat REM menjadi terlalu nyenyak, saluran pernafasan boleh tersekat sepenuhnya sehingga menyebabkan pernafasan terus terhenti untuk beberapa ketika (apnea), atau separa tersekat sehingga menyebabkan paras oksigen berkurangan sehingga 30 hingga 50 peratus (hypopnea). Di kalangan orang dewasa, apnea dan hypopnea dianggap berbahaya jika ia berlaku sepuluh saat atau lebih, sekurang-kurangnya lima kali setiap jam.

Apnea tidur dikaitkan dengan bunyi dengkur yang kuat semasa tidur, biasanya turut mengganggu mereka yang tidur berhampiran dengan individu berkenaan. Walau bagaimanapun, apabila seseorang pesakit sedang menghadapi serangan apnea, bunyi dengkur ini akan menjadi lebih kuat dan tiba-tiba akan terhenti untuk beberapa ketika kerana pernafasan yang sedang terhenti akibat daripada saluran pernafasan yang telah tertutup.

Dalam waktu itu, kadar oksigen dalam tubuh akan menurun dan beberapa saat kemudian, individu tersebut akan terjaga dalam keadaan separuh sedar. Saluran pernafasan yang tertutup tadi akan terbuka semula dan pesakit akan menarik nafas yang sangat memerlukan oksigen. Semasa peristiwa ini, pesakit sebenarnya berada dalam keadaan separa sedar dan biasanya tidak mengingati peristiwa tersebut walaupun tidurnya terganggu berulang kali sepanjang malam.

Kesan-kesan apnea tidur

Semasa bangun tidur pada awal pagi, penghidap masalah apnea tidur biasanya akan mengalami kekeringan mulut, pening kepala dan rasa tidur yang tidak puas. Tidur yang terganggu sepanjang malam ini juga akan menyebabkan rasa mengantuk yang keterlaluan pada siang hari (terutamanya sebelum waktu tengah hari) sehinggakan individu yang terbabit boleh tertidur ketika sedang berbual, membaca surat khabar, memandu atau menonton televisyen.

Perkara ini sebenarnya adalah satu masalah besar kepada kesihatan tubuh kita kerana apabila tidur kita diganggu berkali-kali, badan kita akan terhutang tidur. Keadaan individu yang terhutang tidur akan membuatkannya tidak mempunyai keupayaan untuk bertindak balas terhadap sesuatu stimulus dan keupayaan untuk berfungsi secara optimum pada waktu siang juga akan terjejas. Kombinasi gejala-gejala ini akan meningkatkan risiko untuk terlibat di dalam kemalangan jalan raya ataupun sewaktu mengendalikan mesin-mesin yang berbahaya.

Dengan itu, masalah terhutang tidur juga akan meningkatkan risiko kemalangan di tempat kerja serta mengganggu prestasi kerjaya seseorang individu. Para pesakit mudah baran akibat kekurangan tidur dan keletihan. Ada kalanya, mereka berasa terlalu murung dan enggan berkomunikasi dengan orang di sekeliling. Perhubungan dengan ahli keluarga juga boleh terjejas akibat ketidakstabilan emosi ini.

Individu yang menghadapi apnea tidur juga berisiko tinggi untuk mendapat pelbagai jenis penyakit berikutan kekurangan oksigen dan peningkatan karbon dioksida di dalam badan semasa serangan apnea yang berlaku berulang kali sepanjang malam. Kajian menunjukkan bahawa masalah tidur yang tidak dirawat akan menjurus kepada risiko penyakit-penyakit seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan serangan angin ahmar.

Siapakah yang berisiko?

Apnea tidur lebih melibatkan individu lelaki daripada wanita. Risikonya juga meningkat dengan peningkatan usia. Secara amnya, apnea tidur sering dikaitkan dengan mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan.

Bagaimanapun, hasil penyelidikan di Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia menunjukkan kebanyakan penghidap apnea tidur di negara kita mempunyai indeks jisim berat badan yang lebih rendah berbanding pesakit yang berasal dari negara Barat.

Penyelidik-penyelidik di Amerika Syarikat juga telah menghasilkan kajian yang mendapati penghidap apnea tidur berketurunan Asia adalah lebih kurus berbanding dengan mereka berketurunan Barat serta mengalami keadaan apnea yang lebih teruk. Hal ini bermakna, terdapat faktor lain yang lebih memainkan peranan terjadinya masalah apnea tidur dalam kalangan masyarakat Malaysia khasnya dan Asia amnya.

Kajian menunjukkan bahawa ukur lilit leher lebih memainkan peranan daripada indeks jisim badan di dalam terjadinya masalah apnea tidur. Ukur lilit leher yang lebih daripada 17 inci dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi kerana lemak yang terdapat di leher mungkin akan menekan saluran pernafasan dan menyebabkannya tertutup semasa tidur yang nyenyak.

Mereka yang mempunyai lidah dan tonsil yang bersaiz besar serta lelangit lembut (anak tekak) yang panjang dan tebal juga lebih berisiko untuk mendapat masalah ini. Semasa tidur, otot-otot ini akan hilang ketegangan sehingga menyebabkan mereka jatuh ke bahagian belakang mulut. Perkara ini akan menjadi lebih teruk jika individu itu merokok, meminum minuman keras sebelum tidur atau memakan ubat tidur.

Pada permulaan episod apnea, bunyi dengkur yang kuat akan terhasil akibat getaran lelangit lembut kesan daripada pergerakan udara di saluran pernafasan yang mulai menyempit. Lama kelamaan, saluran pernafasan ini akan terus tersekat sehingga tiada lagi udara yang dapat masuk menerusinya. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa bukan semua mereka yang berdengkur akan mengalami masalah apnea tidur.

Risiko ini juga semakin meningkat sekiranya pesakit tersebut mempunyai rahang yang sempit sehingga menyebabkan lidah tertolak ke belakang semasa tidur akibat tiada ruang yang cukup. Struktur tulang muka lain yang meningkatkan risiko untuk menghidapi apnea tidur termasuklah tulang rahang atas yang terlalu ke belakang atau tulang rahang bawah yang pendek sehingga menyempitkan saluran pernafasan. Struktur-struktur di dalam hidung yang tidak normal juga merupakan satu lagi faktor penyebab masalah apnea tidur. Mereka yang mempunyai sindrom kraniofasial juga berisiko untuk mendapat masalah ini.

Diagnosis dan rawatan

Apabila terdapat gejala-gejala yang boleh dikaitkan dengan apnea tidur di dalam seseorang individu, doktor akan membuat pemeriksaan lanjut untuk menentukan punca gejala tersebut. Pesakit perlu diperiksa secara bersepadu oleh sekumpulan doktor yang terdiri daripada doktor pergigian, doktor perubatan, pakar perubatan respiratori, pakar-pakar hidung, telinga dan tekak, pakar pergigian ortodontik serta pakar pembedahan maksilofasial. Pakar kanak-kanak juga akan melakukan pemeriksaan sekiranya pesakit ialah seorang kanak-kanak. Pesakit biasanya akan dinasihatkan untuk melakukan ujian tidur di hospital.

Terdapat beberapa buah hospital yang menyediakan perkhidmatan ini di negara kita, antaranya Hospital Universiti Sains Malaysia (Kampus Kesihatan) Kelantan yang mempunyai sebuah makmal ujian tidur yang dikenali sebagai makmal beradu. Semasa ujian tidur ini, sebuah mesin yang akan merekodkan data-data yang perlu untuk membuat diagnosis yang tepat akan dipasang kepada pesakit tersebut. Pengimejan diagnostik seperti radiograf juga mungkin akan dilakukan sekiranya perlu.

Jika pesakit didapati mempunyai masalah apnea tidur, doktor akan mencadangkan langkah-langkah yang sewajarnya dan rawatan yang bersesuaian.

Untuk penghidap apnea tidur di peringkat yang tidak teruk, pesakit mungkin diminta:

* Tidak tidur menelentang sebaliknya tidur di posisi sisi untuk mengurangkan risiko saluran pernafasan disekat oleh lidah atau lelangit lembut yang jatuh ke belakang semasa tidur nyenyak

* Tidak merokok atau meminum minuman keras sebelum tidur

* Menurunkan berat badan bagi pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan

* Sekiranya bersesuaian, pesakit dicadangkan memakai alat khas di dalam mulut semasa tidur. Alat ini digunakan di dalam kes-kes di mana tulang rahang bawah si penghidap agak pendek. Pemakaian alat tersebut sewaktu tidur akan menolak tulang rahang ke posisi hadapan untuk membesarkan saluran pernafasan.

*Alat-alat ortodontik juga digunakan untuk individu yang mempunyai rahang yang kecil dan sempit di mana alat tersebut akan membesarkan rahang secara perlahan-lahan.

*Terdapat juga alat untuk memastikan lidah sentiasa berada di bahagian hadapan mulut semasa tidur dan tidak mengganggu saluran pernafasan.

* Sesetengah pesakit mungkin dinasihatkan menggunakan sejenis mesin yang mengepam udara bertekanan tinggi melalui hidung atau mulut secara berterusan ke saluran pernafasan semasa tidur - CPAP.

Udara bertekanan tinggi mampu memastikan saluran pernafasan terus terbuka semasa tidur yang nyenyak. Jika perlu, doktor mungkin menyarankan agar pesakit menjalani pembedahan. Ini termasuklah kes-kes pesakit mempunyai tonsil yang besar, anak tekak yang panjang atau struktur tulang di bahagian muka yang memerlukan intervensi pembedahan.

Pembedahan biasanya dilakukan oleh pakar bedah hidung, telinga dan tekak, pakar bedah pergigian dan pakar bedah maksilofasial. Perlu diingatkan bahawa bukan semua pesakit akan memerlukan rawatan secara pembedahan.

Jelaslah bahawa masalah apnea tidur membawa implikasi besar kepada hidup individu dan masyarakat kerana ia adalah satu pembunuh senyap yang menjejaskan kualiti hidup sesebuah masyarakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan