Ahad, 17 Julai 2011

Anemia pada kanak-kanak

ANEMIA adalah perkara yang sering didengar terutama di kalangan masyarakat yang terpelajar. Namun demikian bagi masyarakat tempatan ia agak asing dan sukar difahami. Mungkin juga ada di dalam keluarga tertentu yang tidak mengetahui langsung apa itu Anemia.
Tidak ada satu istilah yang tepat untuk diterangkan dalam bahasa Malaysia. Kerap juga Anemia disamakan dengan kepucatan walaupun terdapat perbezaan pada keadaan tertentu.
Anemia timbul disebabkan oleh kekurangan Hemoglobin di dalam darah. Hemoglobin adalah bahan yang tersangat penting untuk pengangkutan Oksigen di dalam tubuh manusia.
Tanpa Oksigen tubuh tidak akan dapat bertungsi seperti biasa. Anemia lebih sering terjadi pada kanak-kanak terutama di negara-negara yang sedang membangun seperti Malaysia, la timbul dari berbagai masalah. Di antaranya ialah masalah kurang pendidikan kesihatan, masalah ekonomi dan masalah sosial yang berbeza.
Anemia kerap juga disertai dengan kepucatan, namun demikian tanda-tanda lain seperti keletihan (tidak bermaya), penyakit kulit dan hilang selera makan selalu juga terjadi.
Bagaimanapun tanda-tanda ini masih tidak memberikan kepastian. Oleh itu ujian dan penyelidikan yang khusus mestilah dilakukan di klinik atau rumah sakit yang berhampiran. Anemia boleh disebabkan oleh berbagai jenis penyakit.
Penyakit-penyakit inl pula berbeza mengikut peringkat umur bayi atau kanak-kanak yang terlibat. Oleh itu adalah penting kita membahagikan umur mereka kepada tiga kumpulan umur. Ini adalah peringkat neonat (berumur O-1 bulan), bayi (berumur 1 bulan -1 tahun) dan kanak-kanak (berumur 1 tahun keatas).
Pada peringkat neonat, Anemia kerap terjadi kerana kekurangan zat besi. la selalu terjadi pada kanak-kanak yang dilahirkan terlalu awal atau tidak cukup bulan. Kanak-kanak itu kelihatan lebih kecil dari biasa dan pucat.
Penyakit kuning (Jaundice) dapat juga menimbulkan Anemia terutama yang telah menjalani pertukaran darah (exchange transfusion). Perdarahan yang terjadi pada peringkat neonat selalunya akan menyebabkan Anemia jika lambat dikawal.
Peringkat bayi adalah peringkat yang mesti diawasi dengan rapi. Corak pemakanan yang seimbang mestilah diatur dengan baik. Jenis makanan yang betul dan sesuai mesti diberikan untuk mencegah dari terjadinya Anemia.
Ibu-ibu mestilah mendapatkan penjelasan dari doktor dan jururawat di bahagian kanak-kanak. Jangkitan kuman juga sering berlaku di peringkat ini yang boleh menyebabkan Anemia. Penyakit berak berdarah (chronic gasteroenteritis) adalah contoh penyakit Jangkitan kuman.
Peringkat kanak-kanak yang agak dewasa (berumur 1 tahun ke atas) juga tidak terlepas dari masalah yang sama. Masalah pemakanan dan Jangkitan kuman adalah masalah yang utama.
Makanan yang diberikan mungkin tidak mencukupi atau tidak mengandungi zat yang cukup untuk pembesaran kanak-kanak tersebut. Misalnya memberikan semangkuk bubur yang hanya mengandungi kanji adalah tidak mencukupi. la mestilah dicampurkan sedikit daging, sayur atau sumber-sumber yang lain yang penting dan mudah diperolehi.
Masalah serupa ini kerap melanda keluarga yang miskin dan berpendapatan rendah. Oleh itu sumber pendapatan dan corak ekonomi keluarga itu perlu diambil perhatian yang sewajarnya.
Jangkitan cacing adalah satu penyakit yang kerap terjadi dalam masyarakat yang mempunyai taraf kesihatan dan ekonomi yang rendah. Cacing itu akan hidup segar di dalam usus dengan menghisap darah kanak-kanak tersebut. Ini akan menyebabkan kanak-kanak tersebut kehilangan darah dan menimbulkan Anemia. Ubat cacing seperti Combantrin adalah rawatan yang utama.
Anemia adalah terlalu luas dan panjang untuk dihuraikan. Secara mudah ia dapat dibahagikan kepada dua kumpulan utama. Pertama ialah Anemia yang terjadi kerana gangguan penghasilan darah. Kedua ialah Anemia kerana kehilangan darah yang terlalu banyak.
Gangguan penghasilan darah terjadi kerana kekurangan zat-zat galian seperti zat besi dan kobalt yang sangat diperlukan untuk menghasilkan darah. Zat-zat lain termasuklah vitamin Bg,Bi2,C dan asid folik.
Kesemua ini terjadi selalunya disebabkan corak pemakanan yang tidak seimbang, pada kanak-kanak. Gangguan ini juga terjadi apabila sum-sum tulang mengalami kerosakan. Ini biasanya terjadi pada penyakit leukemia atau jangkitan kuman yang teruk.
Kerosakan sum-sum tulang boleh juga terjadi kerana penggunaan dadah yang terlalu lama pada kanak-kanak (Chloramphenicol). Penyakit-penyakit semula jadi kerap juga terjadi pada sum-sum tulang, akibatnya darah tidak dapat dihasilkan dengan sempurna.
Penyebab Anemia yang kedua ialah kehilangan darah yang terlalu banyak. Salah satu dari penyebabnya ialah perdarahan. la boleh berlaku secara tiba-tiba ataupun dengan perlahan-lahan (melalui najis). Perdarahan secara perlahan-lahan ini terjadi pada jangkitan kuman dalam usus.
Kehilangan darah juga terjadi apabila sel-sel darah mengalami pemecahan (hemolisis). Ini terjadi kerana pembentukan sel darah yang luar biasa dan tidak normal.
Keganjilan ini terjadi pada bentuknya dan kandungan bahan kimianya yang berbeza. Kesemua ini akan menyebabkan sel itu menjadi pecah dan tidak dapat berfungsi dengan baik Hemolisis juga terjadi pada penyakii demam Malaria, kebakaran dan keracunan yang tertentu (bisa ular). Hemolisis atau pemecahan sel darah itu akan menyebabkan Anemia pada kanak-kanak dan orang dewasa.
Untuk menentukan penyakit yang menyebabkan Anemia pada kanak-kanak bukanlah satu perkara yang mudah. Penyakit itu berbeza mengikut umur, sejarah keluarga dan taraf ekonomi kanak-kanak yang terlibat.
Oleh itu kajian secara menyeluruh mesti dilakukan untuk menentukan jenis penyakit dan seterusnya memberikan rawatan yang sewajarnya Segala bentuk kajian itu tidak begitu penting untuk diketahui namun demikian pihak ibu bapa mestilah menaruh kepercayaan tentang apa yang dilakukan. Semuanya itu adalah untuk kebaikan kanak-kanak tersebut walaupun pada zahirnya kadangkala tidak menyenangkan.
Rawatan untuk Anemia adalah bergantung pada jenis penyakit yang dialami oleh kanak-kanak tersebut. Jika Anemia terjadi kerana kekurangan zat-zat tertentu maka zat-zat itu mestilah ditambahkan. Setiap peringkat umur memerlukan corak pemakanan yang berbeza.
Oleh itu ibu-ibu mestilah mengetahuinya dengan jelas. Jika tidak nasihat dari doktor adalah diperlukan. Segala bentuk pemberian zat-zat galian dan vitamin-vitamin tertentu mestilah di bawah pengawasan doktor yang bertanggungjawab. Cuma pada keadaan yang terlalu teruk sahaja, pemberian darah (blood transfusion) dilakukan.
Pada penyakit-penyakit lain yang boleh menyebabkan Anemia seperti Leukemia dan jangkitan kuman yang teruk, rawatannya adalah berbeza. Dadah-dadah yang tertentu terpaksa diberikan untuk mengawal penyakit tersebut.
Adalah sukar untuk mengubati penyakit Leukemia sepenuhnya. Pada penyakit-penyakit darah yang tertentu pula, pemberian darah terpaksa dilakukan berterusan secara berperingkat.
Setiap keluarga mestilah memahami bahawa terdapat sebahagian daripada penyakit-penyakit tersebut yang tidak dapat disembuhkan. Apa yang boleh dilakukan hanya mengawal penyakit supaya tidak menjadi semakin bertambah teruk dan membahayakan.
Jadi rawatan yang berterusan sepanjang hayat mestilah diberikan pada kanak-kanak tersebut. Setiap keluarga mestilah sentiasa tabah dan  sabar menghadapi masalah ini jika ia  terjadi pada anak-anak mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan