Jumaat, 15 Julai 2011

Air tulang belakang kesan kuman

Oleh Hafizah Iszahanid

Prosedur lumbar puncture permudah doktor kenal pasti penyebab penyakit secara lebih tepat berbanding penggunaan antibiotik

Apa dia air tulang belakang? Mengapa ibu bapa terlalu takut, apabila kemungkinan prosedur mengambil air tulang belakang (lumbar puncture) perlu dibuat kepada anak? Adakah lumbar puncture terlalu teruk kesannya hingga anak boleh cacat atau lumpuh?

Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia dan Pakar Perunding Penyakit Kanak-Kanak dan Kardiologi, Dr Zulkifli Ismail, berkata hampir semua ibu bapa pesakit berketurunan Melayu enggan menjalankan lumbar puncture.

Mereka sebaliknya lebih rela anak diberi antibiotik demi antibiotik tanpa memberi peluang doktor memberi anak sembuh sepenuhnya. Pelbagai tanggapan negatif, kononnya pengambilan air tulang belakang boleh membuat anak terencat akal dan lumpuh.

Katanya, bukan semua penyakit mesti dibuat lumbar puncture. Prosedur itu hanya dibuat bagi mengesan kuman penyebab penyakit meningitis, ensephalitis dan beberapa penyakit urat saraf. Meningitis (jangkitan kuman pada selaput sekililing otak dan urat saraf tunjang) memang perlu dirawat dengan antibiotik.

"Tetapi merawat dengan antibiotik tanpa pengambilan air tulang belakang seperti tidak merawat kerana kita tidak tahu apa yang kita rawat. Kita beri antibiotik tapi kita tidak tahu apa yang kita sasarkan dan bila hendak berhenti,�

�Justeru, antibiotik diberi secara berterusan atau terlalu cepat dihentikan. Melalui lumbar puncture, doktor tahu apa sebenarnya kuman penyebab meningitis. Apabila kuman sudah dikenal pasti kita tembak tepatlah. Kalau tidak, main tembak sajalah tanpa sasaran," katanya.

Sehingga kini ada beberapa jenis kuman bakteria seperti hemophilus influenzae, Streptococcus pneumoniae, Staphylococcus termasuk Listeria dan enterococcus bagi kanak-kanak yang berusia kurang daripada tiga bulan dan lain-lain yang sensitif kepada beberapa antibiotik yang biasa digunakan doktor. Tetapi perlu diketahui meningitis boleh juga disebabkan virus atau parasit lain.

 "Ketakutan ibu bapa yang paling besar, kemungkinan anak akan lumpuh dan terencat akal kalau air tulang belakang diambil. Sebenarnya, kalau meningitis tidak dirawat secepat mungkin dan dengan betul, itulah faktor yang meningkatkan risiko anak menjadi lumpuh dan terencat akal. Kadang kala terjadi, anak lewat dibawa ke hospital. Secara kebetulan, lumbar puncture dilakukan dan rawatan dimulakan tetapi kerosakan yang disebabkan penyakit asal sukar dipulihkan. Kebanyakan ibu bapa akan mengatakan prosedur tadi yang menyebabkan komplikasi lumpuh atau terencat akal walhal itu semua adalah komplikasi penyakit asal," katanya.

Katanya, walaupun kebanyakan orang Malaysia tahu mengenai kepentingan prosedur lumbar puncture, keluarga pesakit terutama orang Melayu masih menganggap ia satu prosedur yang menghancurkan masa depan anak mereka.

"Orang Melayu banyak sangat pantang larang. Datuk nenek tak berilah atau mereka dengar cerita anak saudara kawan kepada kawan cacat selepas ambil air tulang belakang.

�Saya hormati keputusan ibu bapa. Saya tidak akan pujuk mereka untuk beri persetujuan untuk lumbar puncture. Cakap sekali mereka tidak mahu, tidak mengapa, kebanyakan doktor tidak mahu buang masa,� katanya.

Sikap ibu bapa ini memberi kesan dari sudut statistik. Malaysia ketinggalan berbanding Thailand, Filipina dan Singapura dalam kes meningitis. Di negara berkenaan kebanyakan punca meningitis diketahui berpunca daripada kuman pneumococcus. Tapi di Malaysia punca sebenar meningitis tidak diketahui secara tepat disebabkan ibu bapa pesakit tidak mahu bekerjasama.

Ketakutan sesetengah ibu bapa terhadap prosedur ini tidak berasas kerana jika benar ia memiliki kesan sebegitu teruk terhadap pesakit, mengapa ia masih dilakukan di seluruh dunia? Malah jika diikutkan, sejarah lumbar puncture bermula pada 1891 apabila diperkenalkan Heinrich Quincke, dari Kiel, Jerman. Quincke sebenarnya melakukan lumbar puncture untuk membantu kanak-kanak yang menderita diserang hydrocephalus.

Mengenali Air Tulang Belakang.

SECARA saintifik ia dikenali sebagai Cerebrospinal fluid (CSF). Cecair berwarna jernih ini beredar ke seluruh sistem saraf tengah. Air tulang belakang adalah sejenis protein yang terletak di antara otak dan tengkorak.

Ia memiliki dua kelebihan pada sistem saraf tengah. Dari sudut peredarannya, ia menghantar nutrisi kepada struktur sistem saraf. Ia juga menyingkirkan bahan buangan daripada otak dan tulang belakang selain menyahtoksik persekitaran sistem saraf.

Air tulang belakang juga bertindak menyerap goncangan. Ia melindungi otak dan tulang belakang daripada trauma disebabkan pergerakan, misalnya jatuh. Secara purata, manusia menghasilkan air tulang belakang sekitar 0.3 ke 0.4 mililiter setiap minit. Tetapi setiap kali dihasilkan, ia akan terserap ke dalam sistem badan. Jika penghasilannya tidak diserap, seseorang itu akan berhadapan masalah kepala besar berair dikenali sebagai hydrocephalus.

"Air tulang belakang yang normal berwarna jernih tetapi akan bertukar warna dan tidak mustahil menjadi pekat kekuningan jika berlaku jangkitan pada otak dan urat saraf. Analisis ke atas tahap protein, gula, sel darah putih dan merah, kultur untuk kuman, mikroskopi dan beberapa ujian lain boleh memberitahu maklumat tepat penyakit urat saraf,� katanya.

Zulkifli berkata, penyakit yang biasa terjadi di otak dan selaput otak adalah meningitis dan encephalitis (radang otak) selain masalah urat saraf lain yang tiada kena-mengena dengan jangkitan. Tetapi prosedur lumbar puncture tidak boleh dibuat jika berlaku tumor pada otak atau pendarahan di otak.

Hanya beberapa titis air tulang belakang saja diambil. Biasanya prosedur itu membabitkan bahagian bawah ruas tulang belakang di antara L3 dan L4. Urat saraf tunjang berakhir pada ruas tulang pinggang L1 atau L2.

Justeru lumbar puncture tidak menyebabkan penusukan jarum ke tulang atau saraf penting yang boleh menyebabkan kanak-kanak itu cacat. Disebabkan bahagian antara ruas itu hanya urat saraf kecil, apabila jarum dimasukkan, saraf secara automatik akan ketepi.

�Sebenarnya ibu bapa harus faham, tujuan lumbar puncture untuk memastikan kuman yang menyerang pesakit meningitis dan dapat dirawat dengan sempurna,� katanya.

Meningitis boleh disebabkan banyak kuman. Kerana itu ada dua vaksin diberikan kepada kanak-kanak bagi menentang meningitis. Vaksin Hib yang diberikan percuma oleh kementerian kesihatan dan vaksin pneumococos yang boleh didapati di pusat perubatan swasta.

Prosedur lumbar puncture ini mengambil masa kurang lima minit. Ia sepatutnya tidak memberi sebarang kesan pada pesakit, jika dilakukan dengan langkah berjaga-jaga. Justeru, ada beberapa langkah perlu diambil kira sebelum lumbar puncture dibuat;

a) Tiada tekanan tinggi dalam otak

b) Tiada pendarahan dalam otak

c) Kulit di bahagian yang bakal dibuat lumbar puncture bebas dari sebarang jangkitan.

d) Tiada tumor dalam otak yang boleh meningkatkan tekanan dalam otak. Jarum yang diguna halus dan kecil.

Zulkifli berkata, tiada had usia untuk memulakan prosedur lumbar puncture. Bayi yang baru beberapa hari dilahirkan pun boleh melalui lumbar puncture.

Tetapi jika pesakit itu tidak stabil, prosedur ini tidak akan dilakukan. Bagi kanak-kanak, jika ubun-ubunnya masih lembik prosedur itu selamat. Bagi kanak-kanak yang ubun-ubunnya sudah keras, imbasan CT mungkin perlu dibuat. Tetapi jika kemungkinan meningitis yang tinggi, pesakit akan dimulakan dengan antibiotik dulu diikuti dengan lumbar puncture.


Sumber: Berita Harian 8.4.2007

1 ulasan:

.....Lia Sufia..... berkata...

Salam sejahtera...
Selepas pesakit menjalani lumber puncture tu, pesakit akan kerap mengalami sakit belakang. Bagaimana caranya mengurangkan sakit belakang tersebut ye? Dan pesakit juga sering berasa penat ketika melakukan sebarang aktiviti walaupun aktiviti tu aktiviti yg ringan-ringan...
Bolehkah pesakit diberikan suplemen ataupun cara alternatif seperti Gamat Healin, Hi-Goat, Habatussauda, Minyak Ikan & Collagen?
Setakat ni pesakit masih mengambil ubat-ubatan dari doc. Pesakit mengalami TB Meningitis.

Terima kasih.

Catat Ulasan